Wang bantuan RM100,000 lesap disamun timbul tanda tanya

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KEJADIAN samun membabitkan wang Bantuan Awal Persekolahan berjumlah lebih RM100,000 di Pekan Semenyih, Selangor pada Isnin menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia

Ini agak pelik apabila urusan pengeluaran wang dengan nilai sedemikian hanya dilakukan oleh seorang individu iaitu guru besar sekolah terbabit yang terletak di Beranang, Selangor tanpa sebarang bantuan keselamatan daripada mana-mana pihak.

Dalam kejadian tersebut, difahamkan wang itu diambil dari kereta guru berkenaan ketika beliau pergi membeli minuman di kedai bersebelahan bank terbabit.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan pada Selasa memaklumkan tiada sebarang permohonan diterima untuk penyediaan polis pengiring bagi tujuan pengeluaran wang tersebut pada hari kejadian.

Katanya, guru besar terbabit yang berusia 50 tahun itu memberi alasan sudah biasa mengambil wang bantuan awal persekolahan sejak 10 tahun lalu tanpa pengiring daripada polis.

Dalam pada itu, Mohd Zaid berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek terlibat kejadian samun tersebut termasuk kemungkinan terdapatnya unsur-unsur kecuaian atau penglibatan ‘orang dalam’.

Beliau turut menyatakan kekecewaannya kerana pihak sekolah tidak meminta bantuan pengiring keselamatan daripada pihak polis sebelum mengeluarkan wang berkenaan.

Jelasnya, polis sudah lama menyediakan perkhidmatan pengiring keselamatan kepada lebih 100 sekolah di sekitar Kajang yang ingin mengeluarkan wang tunai di bank.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam insiden tersebut.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, berdasarkan SOP ditetapkan, pengeluaran wang tunai melebihi RM10,000 mesti dibawa dengan dua pengiring atau polis.

Jelas beliau, pihaknya mengambil serius dengan kejadian yang berlaku dan sedang menunggu laporan siasatan daripada pihak polis dengan tindakan lanjut akan dibuat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Fadhlina turut memberi jaminan bahawa murid yang sepatutnya menerima bantuan tersebut akan menerima wang berkenaan.

Sementara itu, sekolah tersebut menerusi akaun Facebook rasminya pada Selasa memaklumkan kepada ibu bapa bahawa penyerahan wang BAP terpaksa ditangguhkan berikutan kejadian berkenaan.