Kejadian samun terburuk, kerugian jutaan ringgit

Polis giat mengesan suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian samun emas seberat tujuh kilogram bernilai RM1.8 juta di lorong belakang Kedai Emas Nur Jannah di sini pada Rabu.
Polis giat mengesan suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian samun emas seberat tujuh kilogram bernilai RM1.8 juta di lorong belakang Kedai Emas Nur Jannah di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA PILAH - Kejadian samun pembekal emas melibatkan kerugian RM1.8 juta di pekan ini merupakan kejadian pertama dan terburuk berlaku sejak 30 tahun lalu.

Perkara itu diakui beberapa pengurus dan pekerja kedai emas yang ditemui Sinar Harian ketika tinjauan di kedai emas di pekan berkenaan pada Rabu.

Salah seorang daripadanya yang mahu dikenali sebagai Muhammad, 30-an berkata, kebanyakan premis sudah beroperasi antara 10 hingga 30 tahun berbanding kedai emasnya yang baharu empat tahun beroperasi.

"Kejadian pembekal emas disamun pertama kali berlaku dalam sejarah di sini, terburuk jugalah sebab melibatkan kerugian yang banyak.

"Tetapi kalau kes kecurian memang pernah berlaku, ia termasuklah di kedai kami sehingga tular di media sosial," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menceritakan kembali kejadian pada 8 April tahun lalu, katanya seorang wanita berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan seutas gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai RM10,000.

"Suspek bersama seorang lagi individu telahpun menerima hukuman yang setimpal dan kami telah memperketatkan sistem keselamatan di premis ini supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.

Seorang lagi pengurus kedai emas yang dikenali sebagai Tee, 50-an menyifatkan pekan Kuala Pilah adalah tempat yang sangat tenang.

"Tidak pernah lagilah pembekal emas kena samun sebab biasanya emas kena curi dalam kedai.

"Mungkin mereka sudah pakai taktik lain sebab semua kedai pun sudah ada CCTV dan mungkin juga, ada dalam kalangan pengusaha kedai emas telah mengupah pengawal keselamatan," katanya yang menjadikan premis itu sebagai kediamannya.

Senada dengan Tee, seorang lagi pemilik kedai emas yang enggan dikenali berkata, pihaknya sentiasa menjangkakan kejadian buruk dan baik dalam perniagaan kedai emas sejak lebih 15 tahun beroperasi.

"Maaf saya tidak boleh kongsi perincian sistem keselamatan kedai," katanya sambil meminta supaya premisnya tidak dirakam.

Sementara itu, Pengurus Kedai Emas Nur Jannah Kuala Pilah, Noorhasliza Abd Rahman berkata, setahunya kejadian seperti itu tidak pernah lagi berlaku di pekan ini.

"Tidak sangka kejadian samun itu berlaku membabitkan pembekal emas kami namun kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk kelancaran siasatan," katanya.

Sebagai rekod, kedai emas di pekan Kuala Pilah sering menjadi tumpuan pelanggan sama ada penduduk tempatan ataupun luar daerah terutama setiap hujung bulan dan hujung minggu.

Ia berikutan harga emas yang murah sejak puluhan tahun lalu dan ia pernah dijual antara RM151 hingga RM158 satu gram pada tahun 2015 berbanding ketika ini sekitar RM295 gram termasuk upah.

Bagaimanapun, orang ramai masih memilih untuk membeli dan 'mencairkan' emas di sini ketika harga emas melambung naik.