JPJ Kelantan kompaun 14 lori bawa muatan lebih

JPJ Kelantan mengeluarkan kompaun kepada 14 lori yang dikesan membawa muatan secara berlebihan dalam satu operasi di Kampung Geting, Tumpat pada Isnin.
JPJ Kelantan mengeluarkan kompaun kepada 14 lori yang dikesan membawa muatan secara berlebihan dalam satu operasi di Kampung Geting, Tumpat pada Isnin.
A
A
A

TUMPAT - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan kompaun kepada 14 lori yang dikesan membawa muatan secara berlebihan dalam satu operasi di Kampung Geting di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, kesemua lori itu dikesan melanggar peraturan bawah Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 sehingga RM500,000.

"Sebuah lori telah diberi notis mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, sebanyak 40 kenderaan telah diperiksa oleh JPJ Kelantan sepanjang operasi tersebut.

Ujarnya, pada masa sama sebanyak 60 notis telah dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan kaedah-kaedah di bawahnya.

"Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada lesen memandu, tiada lesen memandu vokasional (barangan), lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, lebih muatan, tidak menutup muatan, tiada perakuan pemeriksaan Puspakom dan lain-lain kes teknikal," katanya.

Mohd Misuari berkata, penguatkuasaan berterusan dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk kekal patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan: