UMNO serah memorandum desak SPRM dedah hasil siasatan REE

Shaiful Hazizy (tengah) menunjukkan salinan memorandum yang diserahkan kepada SPRM di Pejabat SPRM Kedah pada Selasa.
Shaiful Hazizy (tengah) menunjukkan salinan memorandum yang diserahkan kepada SPRM di Pejabat SPRM Kedah pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] UMNO Kedah menyerahkan memorandum bagi mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan hasil siasatan terhadap skandal kecurian nadir bumi bukan aktif ataupun 'non-radioactive rare earth element' (NR-REE) di Sik.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, beliau mewakili seluruh warga UMNO Kedah ingin menzahirkan kebimbangan dan kegusaran tentang perkembangan siasatan pihak berkuasa berhubung skandal kecurian REE di Kedah itu.

Shaiful Hazizy berkata, beliau menyifatkan skandal kecurian mineral terbabit adalah serius sekali gus SPRM diharapkan tidak menyembunyikan sebarang fakta berhubung kes tersebut.

"Bagaimanapun, saya yakin SPRM tidak menyembunyikan apa-apa fakta tetapi dengan kadar segera perlu mendedahkan hasil siasatan yang telah pun dibuat sejak beberapa bulan yang lalu.

"Sebabnya, ada beberapa benda yang kita nampak di luar kebiasaan dan beberapa benda yang kita rasa macam tidak cukup tindakan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum terbabit di Pejabat SPRM Kedah di sini pada Selasa.

Sebagai contohnya, katanya, individu terbabit hanya didakwa atas kesalahan menceroboh tanah bukan miliknya dan bukannya atas kesalahan mencuri hasil dan sebagainya.

"Jadi, saya yakin dan percaya banyak lagi pihak yang terlibat dalam skandal ini dan kita minta (pihak berkuasa) meluaskan siasatan bukan sekadar kepada individu-individu tertentu.

"Yang pertama, tengok sekiranya ada penglibatan sindiket-sindiket tertentu. Yang kedua, tinjau juga sekiranya ada penglibatan pada mana-mana pihak berkuasa, pegawai kerajaan ataupun agensi-agensi tertentu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pihaknya turut berpendirian bahawa hukuman kompaun dikenakan kepada hanya seorang individu berjumlah RM130,000 adalah tidak munasabah dan memadai berbanding fakta jenayah dan saiz sebenar operasi kegiatan sindiket perlombongan haram nadir bumi itu.

"Modus operandi perlombongan seperti itu mustahil dilakukan oleh hanya seorang individu sahaja dan tentunya disertai oleh sekumpulan penjenayah terancang hingga melibatkan proses penjualan REE yang dicuri," katanya.

Shaiful Hazizy berpandangan apabila tindakan hanya dikenakan terhadap seorang individu sahaja maka pastinya ia menimbulkan persoalan umum yang besar.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak SPRM digesa mendedahkan keputusan sebenar hasil siasatan skandal kegiatan perlombongan haram yang telah dilaporkan beroperasi sejak dua tahun lepas secara jelas dan terperinci berdasarkan fakta kes berkenaan demi kepentingan umum dan Kedah.

Tambah beliau, UMNO Kedah dan seluruh ahli UMNO tegas bersatu hati dalam mencari kebenaran terhadap isu ini dan mendesak ketelusan agar maklumat sebenar berhubung kes ini dikongsikan buat pengetahuan rakyat.

Shaiful Hazizy turut meminta supaya penerokaan REE diberhentikan serta-merta sehingga siap prosedur operasi standard (SOP) dan selesai siasatan sedia ada.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy juga meminta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim campur tangan berkaitan hasrat Kedah melakukan penerokaan REE di Bukit Enggang, Sik.

Menurut Shaiful Hazizy, beliau bimbang sebarang salah guna kuasa berlaku sekiranya penerokaan REE dilakukan tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, ada syarikat dikhuatiri menggunakan alasan atas aktiviti penerokaan semata-mata, bagaimanapun tidak tahu apa yang mungkin dibawa keluar dari kawasan penerokaan itu.

"Jadi, kita kena hentikan (penerokaan) ataupun memberhentikan segala spekulasi, malah pihak kementerian perlu keluarkan arahan supaya benda (penerokaan REE) ini diberhentikan serta-merta.

"Penerokaan ini (perlu) dihentikan serta- merta sehingga siap SOP," katanya.