Kedah gesa kementerian percepat SOP teroka REE

Muhammad Sanusi (tengah) bergambar bersama Pengurus Besar Xiamen Tungsten, Liu Wenli (dua dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Muhammad Sobri Osman (dua dari kiri) dan Pengurus Besar Jangka Bakat Mineral, Datuk Liana Khalid (kiri).
Muhammad Sanusi (tengah) bergambar bersama Pengurus Besar Xiamen Tungsten, Liu Wenli (dua dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Muhammad Sobri Osman (dua dari kiri) dan Pengurus Besar Jangka Bakat Mineral, Datuk Liana Khalid (kiri).
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah menggesa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) agar mempercepatkan penetapan prosedur operasi standard (SOP) penerokaan unsur nadir bumi (REE) untuk mengelakkan penyelewengan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana sumber mineral itu menarik minat ramai pihak yang secara tidak langsung membuka ruang kepada aktiviti penerokaan dan perlombongan REE secara haram.

Katanya, Kedah juga menghadapi kes kecurian REE sebelum ini yang telah dirampas semula oleh pihak berkuasa.

"Ketika permintaan sangat tinggi, sudah tentu ada usaha untuk membawa keluar bahan mineral ini secara haram.

"Mereka letak lah nama Peah ka, Bedah ka, Semah ka untuk mengaburi mata pihak berkuasa, hakikatnya ia mineral REE yang membawa nilai keuntungan berbilion ringgit dan sewajarnya boleh dimanfaatkan oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) dengan Jangka Bakat Mineral Sendirian Berhad dan Xiamen Tungsten Co Ltd. di Wisma Darul Aman, di sini pada Selasa.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memastikan perlombongan mineral REE yang dilakukan di Kedah menepati semua keperluan keselamatan alam sekitar.

"Saya bukan pakar perlombongan REE, tetapi apa yang saya faham dan tahu ialah perlombongan ini tidak ratakan bukit, tidak tebang pokok.

Artikel Berkaitan:

"Secara ringkas, perlombongan ini hanya masukkan paip-paip untuk cairkan REE dan REE mengalir keluar ikut daya tarikan graviti. Pokok-pokok masih hidup, bukit-bukit tetap gagah berdiri," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, semua pihak yang berminat dan berkepentingan haruslah bersama-sama mengkaji dan mendalami teknik perlombongan REE.

"Jangan kita bercakap atas khabar angin atau fakta yang tidak berasas, oleh sebab itu kita jemput para pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama kerana mereka akan terus mengkaji dan menambah baik perlombongan REE ini," katanya.

Beliau dalam masa sama turut berharap dalam jangka masa panjang apabila hasil pengeluaran REE sudah mencukupi, syarikat Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd dan Xiamen Tungsten Co., Ltd, bekerjasama mewujudkan loji pemprosesan REE di negeri ini dan sekali gus menaikkan pendapatan negeri.