Dedah hasil siasatan kecurian nadir bumi di Bukit Enggang

Laporan Sinar Harian pada Oktober 2022. Gambar kanan: Shaiful Hazizy
Laporan Sinar Harian pada Oktober 2022. Gambar kanan: Shaiful Hazizy
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri diminta mendedahkan hasil siasatan berkaitan kecurian nadir bumi (REE) yang dicuri di Bukit Enggang, Sik pada tahun lalu.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, rakyat negeri ini harus tahu nilai sebenar kerugian yang dialami setelah kecurian tersebut berlaku sejak dua tahun lepas.

Menurutnya, tidak mungkin jenayah besar seperti itu beroperasi secara kapasiti kecil atau individu, selain tidak menolak kemungkinan didalangi kumpulan tertentu atau syarikat besar.

“Berdasarkan laporan media sebelum ini, hanya seorang lelaki dikenakan denda kompaun RM130,000 oleh Jabatan Perhutanan atas kesalahan melakukan aktiviti dilarang dalam hutan simpan serta memasuki kawasan hutan tanpa permit sah.

“Sementara Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) mengeluarkan kompaun maksimum RM500,000 mengikut Seksyen 429 B Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 828),” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Shaiful Hazizy turut mempersoal kenapa tiada maklumat diperoleh daripada individu terbabit berkaitan kumpulan jenayah tersebut yang didedahkan sekitar Oktober lepas.

“Saya gesa agar siasatan tidak hanya dijalankan berkaitan kesalahan menceroboh hutan sebaliknya dibuat secara menyeluruh berkaitan jenayah kecurian REE melibatkan sindiket di negeri ini,” katanya.

Pada awal Oktober lalu, media melaporkan negara mungkin sudah kerugian mencecah berbilion ringgit apabila hasil REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik dicuri pihak tertentu.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah turut menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan selepas menerima aduan rasmi pada Oktober lepas.

“Sehingga sekarang, selepas tiga bulan siasatan dimulakan, tiada perkembangan dilaporkan walaupun wujud desakan daripada pelbagai pihak agar kes itu disiasat secara menyeluruh kerana wujud unsur meragukan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, SPRM juga diminta memperjelaskan hasil siasatan kes tersebut untuk pengetahuan rakyat Kedah.