Peluang 'kalih bagi sama' pada PRN - UMNO Kedah

Mahfuz (tiga dari kiri) bersama Mahdzir (lima dari kiri) semasa melawat gerai makanan di Jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO Kedah di Padang Kerasak, Naka pada Sabtu.
Mahfuz (tiga dari kiri) bersama Mahdzir (lima dari kiri) semasa melawat gerai makanan di Jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO Kedah di Padang Kerasak, Naka pada Sabtu.
A
A
A

PADANG TERAP - Rakyat Kedah perlu memanfaatkan peluang sebaik mungkin Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama di negeri ini untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri sealiran dengan pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kebersamaan kepimpinan politik di pusat dan negeri bakal memberikan manfaat terutamanya pembangunan yang diharapkan oleh rakyat di negeri ini.

Menurutnya, rakyat Kedah perlu membantu kempen 'kalih bagi sama' (tukar bagi sama) pada PRN akan datang bagi memastikan projek-projek pembangunan daripada kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan dengan lancar di peringkat kerajaan negeri.

"Atas pengalaman (saya) sebagai pernah jadi Menteri Besar, dia kena selari di antara negeri dan Persekutuan. Bukan kata tak boleh, boleh (berbeza kerajaan negeri dan Persekutuan) tapi yang terbaiknya adalah seiring.

"Kalau kita (pentadbiran) negeri ini sama dengan Persekutuan di Putrajaya jadi bendanya lebih mudah dan lebih selari," katanya ketika sidang akhbar selepas hadir Jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO Kedah bersama UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan barisan pemimpin PH negeri dan Barisan Nasional (BN) Kedah.

Mahdzir yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah bersama Mahfuz berkata, banyak sektor perindustrian dan pelancongan memerlukan kerjasama yang erat di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Di Kedah, kita boleh bahagikan kepada kepelbagaian kluster dan paling tinggi klusternya yang macam mana kita buat pun yang berkaitan dengan pelancongan. Banyak komponen dalam pelancongan itu kita bergantung kepada kerajaan Persekutuan.

"Kedua yang berkaitan dengan perindustrian seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang menguruskan urusan industri yang datang daripada pelaburan langsung asing (FDI).

"Di sini nak kelulusan pihak berkuasa lokal seperti tanah dan air di bawah bidang kuasa negeri. Tapi kalau kita boleh sekalikan (kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri) dan kita tak berkelahi, kita tak menunjukkan syak wasangka yang tinggi, akhirnya kita boleh, kita boleh buat benda itu (urusan berjalan lancar)," ujar beliau lagi.

Tambahnya, penduduk yang terlibat dalam bidang pertanian juga seperti pesawah dan penoreh akan menerima manfaat jika rakyat Kedah sepakat memilih Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negeri ini pada PRN.

"Mesti ada kebersamaan dalam memerintah. Kalau kebersamaan itu pokoknya adalah dalam bahasa Kedah ini yang paling manislah disebut 'kalih bagi sama'," kata Mahdzir lagi.