Bantuan banjir perlu disalur terus kepada kerajaan negeri

Hanafiah Mat
Hanafiah Mat
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agihan bantuan banjir sebanyak RM50 juta sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), sebaliknya perlu disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia bagi mengelak wujudnya dua entiti di samping melicinkan proses bantuan oleh kerajaan negeri bersama agensi Kerajaan Persekutuan.

"Dalam bencana banjir sebelum ini termasuk ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkuasa lima tahun lalu, agihan bantuan banjir disalurkan secara terus kepada kerajaan negeri.

"Tiada keperluan untuk disalurkan kepada JPP kerana ia seolah-olah mewujudkan satu perbezaan dan hubungan yang tegang antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

"Tambahan pula, di peringkat negeri kita sudah sedia ada perincian maklumat mereka yang layak menerima bantuan dan terjejas banjir.

"Jadi apa salahnya wang itu disalurkan terus dan diuruskan oleh kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurut Hanafiah, langkah itu juga bagi mengelak wujudnya kelemahan dalam sistem agihan termasuk pertindihan kerana agihan bantuan telah sinonim diuruskan kerajaan negeri.

"Berdasarkan agihan bantuan sebelum ini,wang bantuan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan disalurkan terus kepada kerajaan negeri sebelum disalurkan ke Pejabat Daerah, tidak 'singgah' ke JPP.

"Barulah berlaku kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat. Hubungan kedua-duanya juga tidak semakin 'tajam'.

"Apa yang berlaku kini seolah-olah mewujudkan dua entiti dalam satu negeri malah ia juga dilihat bersifat kepentingan politik," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), beliau berkata, ia mengundang kepada situasi yang tidak harmoni dalam sesebuah komuniti.

"Amat bahaya apabila wujud dua (JPKK dan JPKKP) dalam kampung kerana ia boleh mencetuskan pelbagai keadaan yang tidak harmoni.

"Untuk mewujudkan suasana harmoni, biarlah ada satu JPKK kerana dalam apa jua keadaan kerajaan negeri tetap perlu patuh dan taat kepada kerajaan Pusat.

"JPKKP sepatutnya menguruskan dan jaga projek-projek kerajaan Persekutuan, barulah tidak timbul isu lain," katanya.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada Sabtu memberitahu kerajaan akan membentangkan cadangan penubuhan JPKK dan JPKKP kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keanggotaan ahli JPKK dan JPKKP yang dibentuk perlu mengambil kira komposisi parti komponen Kerajaan Perpaduan sebagai menyokong prinsip sealiran dalam kerajaan pada masa kini.

Sebelum ini, dalam lawatan ke Kelantan pada 21 Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera sebanyak RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu yang terjejas teruk akibat bencana banjir.