Warta habitat bunga pakma sebagai kawasan HCVF

Masyarakat Orang Asli suku Semaq Beri dari Sungai Berua, Sahak Samad bersama bunga pakma di Hutan Simpan Tembat di Hulu Terengganu. Foto: Ihsan Suzairi Zakaria
Masyarakat Orang Asli suku Semaq Beri dari Sungai Berua, Sahak Samad bersama bunga pakma di Hutan Simpan Tembat di Hulu Terengganu. Foto: Ihsan Suzairi Zakaria
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kerajaan negeri perlu mewartakan habitat bunga pakma atau Raflesia di Hutan Simpan Tembat, di sini sebagai kawasan nilai pemeliharaan yang tinggi (HCVF) bagi mengelak ia mengalami kepupusan.

Aktivis alam sekitar, Suzairi Zakaria berkata, ia bagi memastikan kelestarian populasi tumbuhan itu memandangkan kebanyakan habitatnya berada di luar kawasan Taman Negara atau Taman Negeri yang berisiko terancam.

"Kita harap supaya pihak pemegang taruh dapat mewartakan kawasan yang mempunyai habitat bunga pakma sebagai santuari agar ia boleh diwariskan kepada generasi akan datang.

"Kawasan habitat bunga pakma boleh dijadikan sebagai tapak penyelidikan dan pendidikan spesies bunga terbesar di dunia itu sekali gus dapat melindungi ia daripada pupus," katanya ketika dihubungi, di sini, pada Ahad.

Menurut Suzairi, faktor utama menyumbang kepada kemusnahan Raflesia ialah pembalakan dan perladangan yang memerlukan kawasan hutan dibersihkan untuk memberi laluan penanaman kelapa sawit secara komersial.

"Ancaman terhadap habitat tumbuhan ini boleh terjadi pada bila-bila masa dan hal seumpama itu pernah berlaku dua tahun lalu berdekatan Bukit Lawit di Tasik Kenyir. Amat rugi sekiranya khazanah alam ini dibiarkan pupus," ujarnya

Dalam pada itu, Suzairi berkata, kawasan habitat bunga pakma juga boleh dijadikan kawasan eko pelancongan yang sekali gus dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya komuniti Orang Asli di Sungai Berua.

Artikel Berkaitan:

Antara bunga pakma yang sedang mekar berkembang ketika ditemui di kawasan Hutan Simpan Tembat di Hulu Terengganu. Foto: Ihsan Suzairi Zakaria
Antara bunga pakma yang sedang mekar berkembang ketika ditemui di kawasan Hutan Simpan Tembat di Hulu Terengganu. Foto: Ihsan Suzairi Zakaria

"Masyarakat Orang Asli antara kumpulan yang turut menyumbang kepada penemuan bunga ini serta spesies tumbuhan lain yang bernilai tinggi. Jadi, golongan ini juga wajar diberikan keutamaan dalam usaha menarik pelancong ke Terengganu.

"Dengan adanya pemeliharaan habitat Raflesia dan pertambahan pelancong, ia secara tidak langsung dapat membantu menjana ekonomi penduduk setempat," katanya.

Suzairi memberitahu, hanya empat negeri di Malaysia yang mempunyai habitat bunga pakma iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Perak.

Jelasnya, penemuan bunga pakma di Terengganu bukan perkara baharu kerana mengikut rekod, ia dijumpai kali pertama di kawasan Basong, Hulu Terengganu pada tahun 1987 oleh kakitangan Lembaga Muzium Negeri Terengganu seterusnya di sekitar Kampung Kemat di daerah sama sekitar tahun 1995.

"Negeri lain ada program khas berkaitan bunga pakma yang boleh melonjakkan lagi industri pelancongan dan sosio ekonomi penduduk setempat.

"Jadi masih belum terlambat untuk Terengganu turut mengikut langkah serupa dan ia boleh dimulakan dengan pewartaan kawasan habitat bunga itu seterusnya dijadikan lokasi pelancongan dengan penyeliaan ketat oleh kakitangan terlatih," jelasnya.