Program Tarif Elektrik Hijau diteruskan

Nik Nazmi Nik Ahmad. - Foto Bernama
Nik Nazmi Nik Ahmad. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan mengumumkan akan meneruskan pelaksanaan Program Tarif Elektrik Hijau (GET) yang diperkenalkan pada tahun 2022 dengan peningkatan tawaran kuota sehingga 6,600GWj dengan kadar tarif premium sedia ada sebanyak 3.7sen/kWj.

Program ini merupakan inisiatif strategik kerajaan dalam menawarkan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) kepada pengguna elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya akan terus komited untuk menawarkan bekalan elektrik yang bersih daripada sumber TBB kepada pengguna elektrik khususnya syarikat komersial dan pihak industri yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon mereka dalam memastikan kelestarian alam sekitar.

"Program GET menyediakan pilihan kepada entiti perniagaan, pelabur dan organisasi yang beroperasi di Malaysia dalam memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui penggunaan elektrik daripada sumber TBB," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Melalui program ini, pengguna yang mempunyai komitmen untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) boleh melanggan bekalan elektrik yang dijana dari sumber TBB.

Pelanggan program GET akan dibekalkan dengan bekalan elektrik yang dijana daripada loji janakuasa solar dan hidro yang sedang beroperasi.

Selain itu, susulan peningkatan kapasiti penjanaan TBB serta permintaan yang menggalakkan daripada pengguna elektrik, penawaran kuota GET bagi tahun 2023 adalah lebih tinggi berbanding kuota 4,500GWj pada tahun 2022.

Kerajaan turut mengekalkan ciri-ciri utama program GET termasuk pemberian insentif pengecualian caj Imbalance Cost Pass Through (ICPT) untuk tempoh enam bulan bermula dari Januari hingga Jun 2023.

Artikel Berkaitan:

Seramai 1,994 pengguna dari kategori domestik, komersial dan industri telah menyertai program GET pada tahun 2022.