Banjir: Polis terima 6,923 laporan babitkan kerugian RM38.2 juta

Rohaimi
Rohaimi
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu telah menerima 6,923 laporan daripada individu yang terjejas bencana banjir di seluruh negeri ini membabitkan kerugian lebih RM38.2 juta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, daripada jumlah itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut merekodkan nilai kerugian paling tinggi iaitu RM13.6 juta melibatkan 2,471 laporan.

Menurutnya, IPD Kuala Terengganu pula menerima sebanyak 1,677 laporan (RM2.7 juta) diikuti Kemaman 871 laporan (4.07 juta), Hulu Terengganu 732 laporan (RM12 juta), Dungun 498 laporan (RM3.2 juta), Setiu 454 laporan (RM2 juta) dan Marang 220 laporan (RM562,600).

“Laporan polis ini direkodkan sehingga 9 Januari lalu dan selain memaklumkan nilai kerugian, terdapat mangsa turut menyatakan kerosakan dialami akibat banjir bagi tujuan rujukan agensi berkaitan,” katanya pada Rabu.

Rohaimi berkata, walaupun banjir sudah surut namun pihaknya masih berada dalam keadaan bersiap sedia menghadapi gelombang baharu kerana musim Monsun Timur Laut di Terengganu belum berakhir.

Sementara itu, mengulas pencapaian Polis Terengganu pada tahun lalu, beliau memaklumkan indeks kadar jenayah mencatatkan penurunan sebanyak 7.34 peratus iaitu 1,594 kes pada tahun 2021 kepada 1,477 kes pada tahun 2022.

Jelas beliau, penyelesaian kes bagi Jabatan Siasatan Jenayah Negeri bermula Januari hingga Disember lalu juga telah mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) iaitu sebanyak 1,020 kes atau 69.1 peratus.

"Di atas usaha Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, seramai 42 pengedar dadah telah ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 sepanjang tahun lalu berbanding 27 tangkapan pada tahun 2021.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh ini juga, tangkapan bagi kes jenayah komersial pula merekodkan seramai 536 orang iaitu meningkat 34 peratus berbanding 401 tangkapan pada tahun 2021," katanya.