Polis terima laporan khianat di tanah perkuburan

No Image Caption
A
A
A

KLUANG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada Jumaat, mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian khianat di kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Kluang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, kejadian (khianat) berkenaan disedari oleh waris yang pergi menziarahi kubur di tanah perkuburan berkenaan pada 22 April lalu.

“Hasil siasatan mendapati sebahagian daripada binaan atas dan tepi kubur berkenaan terdapat kesan pecah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu Bahrin berkata, kes khianat di tanah perkuburan berkenaan pernah berlaku sebelum ini iaitu pada Julai 2022 lalu.

Bagaimanapun katanya, suspek yang juga seorang pesakit mental dalam kes berkenaan telah pun ditangkap dan didakwa di mahkamah.