KKM jangka tidak berlaku lonjakan kes Covid-19 musim perayaan

Statistik liputan vaksinasi Covid-19 memaparkan hanya dua peratus rakyat Malaysia yang ambil vaksin dos penggalak 2 sehingga 7 Januari 2023. - Foto Bernama
Statistik liputan vaksinasi Covid-19 memaparkan hanya dua peratus rakyat Malaysia yang ambil vaksin dos penggalak 2 sehingga 7 Januari 2023. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan tidak berlaku lonjakan kes baharu Covid-19 semasa musim perayaan ini, kata Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ia berdasarkan pengalaman setelah sempadan negara dibuka semula pada 1 April 2022 iaitu pelbagai perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha dan Krismas telah dilalui serta rakyat Malaysia kembali dari tanah suci, malah ketika Pilihan Raya Umum ke-15, tidak berlaku lonjakan kes.

"Pengalaman kita pada 1 April lepas, pada permulaan kita tidak yakin kes dapat dikawal dengan baik tapi ternyata tempoh masa lebih lapan bulan telah menunjukkan kes dapat dikawal dengan baik walaupun dah buka semua sempadan, semua sektor dan membenarkan semua perayaan dan perhimpunan," katanya dalam Sesi Libat Urus Menteri Kesihatan Bersama Media di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes baharu Covid-19 dalam negara menunjukkan trend penurunan iaitu kurang 500 kes baharu dicatatkan setiap hari dalam tempoh dua minggu lepas, berbanding antara 3,000 ke 4,000 kes beberapa bulan sebelum ini.

Beliau berkata, vaksin yang digunakan juga dilihat masih mampu memberi perlindungan daripada jangkitan Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan terus memantau perkembangan kes dan varian baharu di negara lain termasuk kes Covid-19 yang berlaku pada pengembara yang memasuki Malaysia.

"Kita sekarang memantau rapi varian baharu, setiap kali ada Omicron subvarian bermutasi, kita lihat walau kes dijangka akan melonjak dengan setiap varian BA1, BA2, BA4 dan BA5, tetapi perkara ni tak berlaku.

"Ini beri keyakinan pada kita kalau Omicron, insya-Allah dengan vaksin yang ada, ketahanan dan perlindungan kepada setiap individu masih baik," katanya dan setakat ini, tiada varian baharu Covid-19 dikesan dalam negara termasuk subvarian Omicron, XBB.1.5 atau "Kraken" yang kini menjadi varian paling dominan di Amerika Syarikat (AS)

Artikel Berkaitan:

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), XBB.1.5 ialah keturunan subvarian Omicron XBB yang terjadi daripada persilangan antara dua strain terdahulu, BA.2.75 dan BA.2.10.1. Pakar menggelarkan strain Omicron XBB.1.5 dengan nama Kraken yang berpotensi mencetuskan gelombang besar Covid-19.

WHO melabelkan strain itu sebagai 'subvarian paling mudah berjangkit yang pernah dikesan', dengan XBB.1.5 menjadi punca sebahagian besar jangkitan di AS.- Bernama