Cuaca panas musim perayaan, orang ramai diingat waspada

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan cuaca panas di musim perayaan ini.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, pemantauan yang dilakukan oleh kementerian sehingga 28 April 2023 mendapati terdapat sebanyak lima kes penyakit berkaitan cuaca tersebut telah dilaporkan.

“Tiga kes dilaporkan di negeri Sarawak, melibatkan dua (2) kes kekejangan haba dan satu (1) kes kelesuan haba. Dua (2) kes lagi dilaporkan di negeri Kelantan, melibatkan satu (1) kes kelesuan haba dan satu (1) kes strok haba yang menyebabkan kematian.

“Merujuk kepada laporan di media massa pada 27 April 2023 berkenaan dua (2) kematian akibat strok haba di Kelantan, hasil siasatan awal pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mendapati penyebab kematian kanak-kanak berusia 11 tahun adalah strok haba dengan dehidrasi teruk.

“Manakala kematian bayi berusia 19 bulan pula disebabkan oleh dehidrasi teruk dengan sepsis dan bukan disebabkan oleh strok haba,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Justeru, Muhammad Radzi menyarankan supaya orang ramai mengambil langkah pencegahan terhadap sebarang masalah kesihatan yang boleh terjadi sepanjang musim cuaca berkenaan.

“Rancang aktiviti beraya atau ziarah dan elakkan waktu puncak cuaca panas antara jam 11 pagi hingga 4 petang serta banyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga sekurang- kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal-atur suhu badan.

“Kurangkan minum air manis, berkafein dan berkarbonat kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan serta pada masa yang sama hadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas,” tambah beliau.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia dan langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM.