Exco DAP akui selesa bekerja dengan Saarani

Kah Keong
Kah Keong
A
A
A

IPOH - Exco Kerajaan Negeri Perak dari DAP mengakui selesa bekerja di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad selepas hampir dua bulan bersama mentadbir negeri ini.

Woo Kah Leong yang dilantik memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak berkata, kebanyakan perkara melibatkan dasar dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat exco.

Malah katanya, sejak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), barisan pentadbiran kerajaan tidak pernah gagal melaksanakan mesyuarat exco seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

"Memang kita nampak ada keserasian dalam pentadbiran kerajaan ini walaupun gabungan ini pertama kali diwujudkan. Saya pun pertama kali dipilih dan dilantik ke jawatan ini.

"Pertama kali dalam mesyuarat, kita tak ada masalah. Kita bincang semua kertas yang ada terutama kita sepakat setuju tak ada ganjaran, tak ada bonus untuk menteri besar dan Exco pada mesyuarat pertama dan kita juga setuju sebulat suara peruntukan setara kepada pembangkang," katanya kepada Sinar Harian ketika temu bual khas di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan,di sini baru-baru ini.

Kah Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar berkata, jika ada perbezaan pendapatan hanyalah berkisar mengenai pelaksanaan dasar-dasar yang dipersetujui.

Jelasnya, di dalam mesyuarat exco, masing-masing mengemukakan cadangan membina berkaitan permasalahan rakyat dan mengenepikan agenda parti yang diwakili.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Perak itu turut yakin bahawa kerajaan negeri yang dibentuk bersama dua gabungan parti itu mampu stabil dan kekal sehingga habis penggal.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, perkara itu diperkuatkan lagi dengan penubuhan jawatankuasa perundingan di peringkat negeri yang dipengerusikan bersama Saarani dan Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

"Saya rasa antara pelbagai negeri, kita di Perak antara yang terawal malah di peringkat nasional pun kita belum ada pertemuan sedemikian. Nasional pun perbincangan antara peringkat kerajaan bukan antara parti.

"Mungkin juga sebab kita pernah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini sekaligus membolehkan kerjasama yang lebih mudah dicapai berbanding negeri yang lain," katanya.

Jelas Kah Leong lagi, dengan lulusnya enakmen berkaitan anti lompat parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini menambahkan lagi kestabilan politik di negeri ini.

Pentadbiran kerajaan negeri Perak dianggotai 10 orang exco iaitu empat orang ADUN daripada DAP, tiga ADUN UMNO, dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang daripada Parti Amanah Negara (Amanah).