Perancis bicara dalang jual daging 'kuda makmal'

Seorang pekerja menarik troli yang sarat dengan daging kuda di pusat penyembelihan AIM (Abattoirs industriels de la Manche) di Sainte-Cécile. - AFP
Seorang pekerja menarik troli yang sarat dengan daging kuda di pusat penyembelihan AIM (Abattoirs industriels de la Manche) di Sainte-Cécile. - AFP
A
A
A

MARSEILLE - Seramai 25 orang dibicarakan di selatan Perancis pada Isnin selepas dituduh menyembelih kuda yang diperoleh daripada industri farmaseutikal dan menjual daging haiwan itu di pasaran walaupun ia tidak sesuai untuk dimakan oleh pengguna.

Defendan utama dalam perbicaraan di bandar Marseille itu ialah pemborong daging, Patrick Rochette.

Sementara 18 individu termasuk doktor haiwan, peniaga dan penjual daging turut dituduh menjalankan rangkaian perdagangan daging kuda tercemar.

Kesemua defendan termasuk warga Belgium dan Belanda telah dibicarakan sejak Jun lalu kerana melanggar peraturan kebersihan Kesatuan Eropah (EU) yang mengawal perdagangan daging kuda.

Mereka dituduh memalsukan dokumen rasmi antara 2010 dan 2015 serta memperdaya pemilik kuda tua untuk mempercayai bahawa haiwan itu akan menghabiskan sisa kehidupan di luar bandar, namun hakikatnya ia terus dibawa ke pusat penyembelihan.

Penyiasat menyifatkan skandal tersebut sebagai "amalan penipuan berskala besar."

Dalam skandal itu, dokumentasi palsu diberikan kepada kuda yang digunakan untuk menghasilkan serum oleh syarikat farmaseutikal Sanofi-Pasteur di sebuah ladang di selatan Perancis.

Kuda-kuda itu sebelum ini telah dihalang secara kekal daripada penyembelihan untuk kegunaan manusia.

Artikel Berkaitan:

Pun begitu, dokumen palsu itu membolehkan haiwan tersebut disembelih di Narbonne di selatan Perancis termasuk di Verona, Itali dan Barcelona di Sepanyol.

Bagaimanapun, pakar yang ditugaskan untuk menyiasat kes tersebut membuat kesimpulan bahawa terdapat "tiada risiko toksikologi utama" kepada pengguna.

Oleh kerana keupayaan pengeluaran darah dan air kencing yang banyak, kuda telah lama digunakan dalam industri farmaseutikal bagi menghasilkan vaksin, serum dan produk terapeutik lain.

Daging kuda biasanya lebih murah daripada daging lembu dan telah lama menjadi sebahagian daripada diet di seluruh negara Eropah termasuk Perancis, tetapi popularitinya telah merosot dalam beberapa dekad kebelakangan ini selain pengeluarannya dikawal ketat.

Skandal daging kuda terbesar tercetus pada 2013 apabila berjuta-juta produk sedia untuk dimakan telah ditarik balik dari kedai-kedai di seluruh Eropah selepas ia didapati mengandungi daging kuda dan bukannya daging lembu seperti yang ditunjukkan pada label. - AFP