Lintasan Rafah: 'Jendela harapan' buat penduduk Gaza

GENTING GAZA - “Pembukaan semula Lintasan Rafah membuka ‘jendela harapan’ buat penduduk Gaza”.
Kenyataan itu dibuat Ketua Jawatankuasa Teknokratik, Ali Shaath yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir wilayah itu.
“Ia menandakan permulaan proses yang panjang untuk memulihkan kembali Gaza,” ujarnya pada Isnin.
Pihak berkuasa Israel membuka sepenuhnya laluan sempadan Gaza dan Mesir tersebut kepada pejalan kaki, sehari selepas ia memberikan akses terhad atas alasan untuk menangani kemungkinan isu logistik.
Pengarah Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Asia Barat, Sam Rose berkata, pembukaan semula Rafah mendedahkan wujudnya ‘dinamika yang saling bertentangan’.
“Pada satu pihak, terdapat kemajuan positif dengan pembukaan semula laluan itu, namun dalam tempoh 24 jam yang lalu Zionis berterusan melanggar gencatan senjata apabila sekurang-kurangnya 30 penduduk Palestin terkorban dalam serangan udara,” katanya.

Menteri Luar Britain, Yvette Cooper menerusi platform X juga berpendapat masih banyak perlu dilaksanakan termasuk memberikan lebih banyak akses kepada penghantaran bantuan kemanusiaan.
Talian hayat
Sementara itu, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas menyifatkan pembukaan Lintasan Rafah hanyalah langkah pertama dan penduduk Gaza amat memerlukan bantuan segera.
“Ia merupakan talian hayat buat penduduk Gaza yang cedera dan sakit. Pembinaan semula wilayah itu pula bergantung kepada kesediaan Hamas untuk meletakkan senjata,” jelasnya.
Difahamkan, operasi di laluan itu masih terhad dan turut berdepan sekatan ketat.

Pihak berkuasa Mesir memaklumkan operasi pada hari pertama hanya membenarkan kira-kira 200 penduduk Palestin menyeberang Lintasan Rafah, satu angka yang mencerminkan skop pembukaan semula yang terhad dan bukannya kembali sepenuhnya kepada pergerakan ketika sebelum perang.
Lintasan itu akan dibuka kira-kira enam jam sehari manakala tempoh pembukaan di bahagian Mesir adalah sepanjang masa.
Laluan itu pernah dibuka secara sementara pada awal 2025 selepas ia dikuasai tentera Israel pada Mei 2024.
Pindah mangsa cedera
Susulan ia kembali beroperasi, sejumlah mangsa cedera bersama pengiring mereka telah dipindahkan ke hospital sekitar Mesir menggunakan beberapa ambulans.
Pengarah Hospital al-Shifa di Bandar Gaza, Mohammed Abu Salmiya berkata, kira-kira 20,000 pesakit termasuk 4,500 kanak-kanak di Gaza memerlukan rawatan segera.

AlQahera News memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Mesir melaporkan sebanyak 150 hospital dan 300 ambulans telah disediakan untuk menerima kumpulan pesakit Palestin.
Sebelum perang ganas itu meletus, Rafah berfungsi sebagai laluan utama Gaza ke dunia luar memandangkan pintu sempadan lain ke wilayah tersebut dikongsi bersama Israel dan disekat.

Abdul Rahim Mohamed, 30, berkata, dia tidak sabar menanti kepulangan ibunya yang menjalani rawatan barah di Mesir pada Mac 2024.
“Dua hari lalu, dia beritahu dibenarkan untuk pulang ke Gaza. Saya sangat gembira kerana akhirnya kami dapat bertemu semula,” ujarnya.
Rafah berada dalam kawasan dikawal Israel susulan pengunduran mereka dari Garisan Kuning seperti terkandung di bawah syarat perjanjian gencatan senjata fasa pertama pada 10 Oktober lalu.
Sehingga ke hari ini, lebih separuh kawasan di Gaza masih berada dalam cengkaman Zionis. - AFP
Ringkasan AI
- Pembukaan semula Lintasan Rafah di Gaza menandakan harapan untuk pemulihan kawasan tersebut
- Israel membuka sepenuhnya laluan sempadan Gaza dan Mesir untuk pejalan kaki setelah sehari memberi akses terhad
- Operasi di Lintasan Rafah masih terhad dan berdepan dengan sekatan ketat
- Sejumlah mangsa cedera dipindahkan ke hospital sekitar Mesir menggunakan ambulans
- Lintasan Rafah berfungsi sebagai laluan utama Gaza ke dunia luar sebelum perang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

