Beri Sabah kuasa kendali projek RM50 juta langkah realisasi MA63

Laporan Sinar Harian pada 4 Januari lepas.
Laporan Sinar Harian pada 4 Januari lepas.
A
A
A

KOTA KINABALU - Persetujuan kerajaan Persekutuan memberi kuasa kepada negeri Sabah mengendalikan projek pembangunan sehingga RM50 juta dilihat sebagai langkah awal atau permulaan ke arah melaksanakan ketetapan-ketetapan yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS), Datuk Hasnol Ayub berkata, ia adalah langkah pertama kerajaan pusat di bawah kepimpinan baharu untuk memacu kepada persetujuan perkara-perkara lain seperti yang terkandung dalam MA63.

Beliau yang ditemui Bernama baru-baru ini berkata, ia memperlihatkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam melaksanakan MA63 untuk Sabah selepas pembentukan kerajaan baharu pasca Pilihan Raya ke-15 (PRU15) November lepas.

Katanya, penurunan kuasa itu juga perlu dilihat dalam beberapa aspek antaranya bagaimana cara kerajaan negeri melaksanakannya, pemantauan dari segi ekonomi dan persekitaran Sabah, di samping mengukur sejauh mana hasil daripada penurunan kuasa itu akan memberi manfaat kepada rakyat.

Dengan mengambil contoh SEDIA, Hasnol berkata, agensi berkenaan telah mempunyai templat yang boleh dijadikan sebagai panduan dan rujukan kerana telah berpengalaman lebih 10 tahun melaksanakan projek bernilai bilion ringgit.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Jurutera Perunding Malaysia Cawangan Sabah, Razalie Sindong berpendapat pemantauan audit dan penyeliaan serta prosedur pelaksanaan projek berkenaan perlu diambil perhatian.

Beliau berkata, ia penting agar pelaksanaan projek berkaitan dapat dijalankan dengan sempurna tanpa berlaku sebarang ketirisan dan birokrasi.

"Sekiranya projek-projek itu dilaksanakan dengan cepat, ia akan memberi impak yang besar kepada rakyat Sabah secara khusus kerana hasil daripada projek berkenaan dapat dimanfaatkan dan dinikmati, sekali gus akan meningkatkan ekonomi penduduk rakyat Sabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Razalie berkata, kerajaan negeri lebih tahu mengenai hala tuju negeri masing-masing dalam konteks tempatan serta keperluan penduduk, dan lebih mengetahui projek yang perlu diutamakan untuk dilaksanakan terlebih dahulu. - Bernama