Projek RM50 juta diserah kepada Sabah, Sarawak

Projek bawah nilai RM50 juta akan diserahkan hampir sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak berkuat kuasa serta-merta. - Gambar hiasan
Projek bawah nilai RM50 juta akan diserahkan hampir sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak berkuat kuasa serta-merta. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mana-mana projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta akan diserahkan hampir sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui oleh Kementerian Kewangan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Pelaksanaan (projek) perlu dilaksanakan dengan mematuhi peraturan serta kewangan yang ditetapkan," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Menurutnya, proses memuktamadkan keputusan pelaksanaan projek di negeri terbabit sebelum ini dilihat memakan masa berikutan perlu melalui Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu.

"Keputusan itu boleh dibuat di Kuching atau Kota Kinabalu tanpa dilengah-lengahkan kerana tunduk kepada peraturan lama," katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa perkara tertangguh seperti keputusan menyegerakan pelaksanaan beberapa projek kerana walaupun ada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak, tetapi kata putus banyak di Putrajaya.

"Jadi, walaupun peruntukan besar diberikan, tetapi peruntukan itu tidak dapat dipenuhi kerana kerenah pentadbiran ikut peraturan biasa yang terpaksa merujuk kepada Persekutuan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan memuktamadkan hal berkaitan kawal selia bekalan gas pada bulan depan.

Artikel Berkaitan:

“Soal keputusan kuasa kawal selia gas di Sarawak sudah diputuskan, di Sabah akan memuktamadkan," jelasnya.

Sebelum ini, Anwar memberitahu Kerajaan Persekutuan membuat keputusan untuk memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada kerajaan Sabah seperti yang diberikan kepada Sarawak sebelum ini.

Menerusi keputusan itu, kuasa peletakan harga dan perjanjian baharu berkaitan kawal selia gas yang dahulunya diputuskan di pusat terletak kepada negeri itu sepenuhnya.