Kejiranan dibanjiri warga asing, sempit dan kotor digempur

Keadaan flat berkenaan diubah suai dan disewakan kepada PATI di sekitar ibu negara.
Keadaan flat berkenaan diubah suai dan disewakan kepada PATI di sekitar ibu negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sanggup tinggal berhimpit dalam keadaan sempit dan kotor, itu situasi dihadapi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menyewa bilik di flat Jalan Abraham, Off Jalan Imbi, Bukit Bintang di sini.

Walaupun terletak di tengah ibu kota dan dikelilingi oleh bangunan pencakar langit, suasana di sekitar kejiranan terbabit bagaimanapun seakan-akan berada di negara dunia ketiga.

Difahamkan, kebanyakan warga asing berkenaan duduk menyewa di beberapa unit kediaman di flat berkenaan yang diubah suai ala-ala asrama yang menempatkan sehingga 20 orang dalam satu premis.

Salah seorang wanita warga Myanmar yang ditemui di flat berkenaan berkata, dia yang berusia lingkungan 20-an telah tinggal di flat terbabit bersama anak dan suaminya sejak beberapa tahun yang lalu.

"Dalam rumah ini, ada empat bilik saiz sederhana dan dua bilik kecil. Macam bilik saya sewa ini (sederhana), sewa adalah RM600 sebulan, bilik kecil pula antara RM200 hingga RM300 sebulan.

"Kebanyakan bentuk rumah di kawasan ini memang seperti ini dengan dibahagikan kepada beberapa bilik untuk disewa,” katanya ketika ditemui dalam serbuan Op Sapu di sini awal pagi Sabtu.

Seramai 1,051 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan.
Seramai 1,051 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan.

Wanita berkenaan bersama dua anaknya adalah antara 1,051 warga asing yang diperiksa dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) pada jam 12.30 tengah malam Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ketika ditemui berkata, dianggarkan seramai 3,000 pendatang asing menetap dan bekerja di sekitar kawasan berkenaan.

"Dalam operasi ini, kami memeriksa seramai 1,051 warga asing dengan 544 daripadanya yang berusia antara setahun hingga 68 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Mereka yang ditahan membabitkan individu warga Bangladesh, Myanmar, Nepal, Indonesia, Afghanistan, Pakistan dan Filipina,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi serbuan di sini pada Sabtu.

Khairul Dzaimee berkata, daripada 544 pendatang asing tanpa izin (PATI) itu, seramai 30 kanak-kanak Myanmar bukan pemegang kad UNHCR ditahan.

"Antara kesalahan dikesan dalam operasi itu adalah tiada dokumen pengenalan diri, salah guna pas dan tinggal lebih masa.

"Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut," ujar beliau.