'Perbaiki sistem perlindungan kanak-kanak' - Permaisuri Johor

Raja Zarith Sofiah (tengah) berkenan mengadakan pertemuan dengan agensi kerajaan dan NGO di Istana Polo, Pasir Pelangi, Johor Bahru, pada Rabu.
Raja Zarith Sofiah (tengah) berkenan mengadakan pertemuan dengan agensi kerajaan dan NGO di Istana Polo, Pasir Pelangi, Johor Bahru, pada Rabu.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Permaisuri Johor mendesak kerajaan Persekutuan agar meneliti dan memperbaiki kelemahan sistem pihak berkuasa berkaitan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak di negara ini.

Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, kelemahan itu menyebabkan kurangnya keyakinan masyarakat awam terhadap kemampuan pihak berkuasa sama ada tindakan susulan dibuat berkesan atau tidak dalam memastikan persekitaran yang sebaiknya bagi melindungi mangsa.

"Di manakah kelemahan di dalam sistem kita sehingga penderaan yang begitu dahsyat seperti kes Allahyarham Lokman boleh berlaku. Mungkin ada pelbagai faktor, namun di sinilah peranan yang perlu dimainkan oleh pihak berkuasa bagi memperbaiki situasi ini.

"Mungkin ramai dalam kalangan rakyat tidak menyedari saluran yang sepatutnya mereka gunakan dalam kes-kes melibatkan kanak-kanak.



"Terdapat juga isu defisit kepercayaan terhadap keberkesanan laporan yang diutarakan kepada pihak berkuasa, sama ada tindakan susulan mereka berkesan atau tidak dalam memastikan persekitaran yang sebaiknya bagi melindungi mangsa," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menerima mengadap beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Istana Polo, Pasir Pelangi pada Rabu.

Pada Isnin lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut akibat didera di Senggarang, Batu Pahat.

Mangsa yang dikenali sebagai Lokman dilaporkan telah meninggal dunia selepas tiga hari dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat pengsan di rumahnya di Senggarang.

Hasil siasatan awal mendapati kematian kanak-kanak berkenaan akibat didera dengan terdapat pelbagai kesan kecederaan baharu dan lama di seluruh tubuh badan mangsa.

Raja Zarith seterusnya berharap semua pihak berkaitan mengambil langkah menambah baik sistem perlindungan kanak-kanak.
Artikel Berkaitan:


Baginda juga terkenang kes penderaan yang dilaporkan berlaku sebelum ini seperti melibatkan Allahyarhamah Nurul Huda Abdul Ghani pada 2004 dan Allahyarhamah Nurul Nadirah Abdullah (Dirang) pada 2012.

"Kes Allahyarham Lokman ini mengingatkan saya kepada kepiluan dan kesedihan tragedi lalu seperti yang berlaku kepada mereka.

"Akta Kanak-Kanak perlu diperkukuh dengan peruntukan perundangan supaya tindakan yang lebih proaktif dan agresif boleh diambil. Salah satu perkara utama lagi yang mesti diberi perhatian adalah peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang perlu dikemas kini untuk perkhidmatan yang lebih berkesan.

"JKM pada masa kini amat terbeban dengan aduan keluarga yang memerlukan bantuan, termasuk ketika bencana seperti banjir atau kebakaran rumah. Mungkin sebuah jabatan kerajaan khas boleh ditubuhkan khusus untuk menangani isu kanak-kanak termasuk penderaan, buli di sekolah dan lain-lain," titah baginda.