Banjir: Sektor pertanian, perikanan, penternakan rugi RM48.7 juta

Dr Azman (tengah) ketika hadir pada majlis yang diadakan di Hotel Permai di sini pada Rabu.
Dr Azman (tengah) ketika hadir pada majlis yang diadakan di Hotel Permai di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bencana banjir yang melanda Terengganu pada bulan lalu menjejaskan sektor pertanian, penternakan dan perikanan dengan kerugian yang direkodkan setakat ini berjumlah kira-kira RM48.7 juta.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, jumlah kerugian itu melibatkan 3,697 pengusaha dalam tiga bidang tersebut di lapan daerah yang terjejas banjir.

Menurutnya, sektor pertanian merekodkan kerugian paling tinggi iaitu RM39.2 juta membabitkan 2,555 petani diikuti perikanan sebanyak RM6.1 juta (361 penternak dan nelayan) dan RM3.4 juta bagi bidang penternakan (781 penternak).

"Ini merupakan data awal dan semua jabatan berkaitan masih mempunyai tempoh sehingga 15 Januari ini bagi melengkapkan laporan kemusnahan akibat banjir untuk diserahkan kepada Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu.

"Selepas laporan penuh diperolehi, saya sasarkan pada awal Februari kita akan bermesyuarat untuk meneliti isu ini dan memohon dana dari kerajaan negeri bagi membantu warga tani, penternak dan nelayan yang terkesan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Amanat Sektor Pertanian Negeri Terengganu Tahun 2023 di Hotel Permai di sini pada Rabu.

Dr Azman berkata, kerugian akibat bencana banjir direkodkan kali ini bagi sektor berkenaan merupakan yang terbesar dalam tempoh lima tahun.

Jelas beliau, dalam kejadian banjir yang berlaku pada Februari tahun lalu, sektor berkenaan merekodkan kerugian melebihi RM12 juta.

Artikel Berkaitan:

"Jawatankuasa Tabung Bencana Pertanian Negeri akan meneliti setiap laporan kerugian yang dialami pengusaha dan kita akan berusaha menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mereka," katanya.