Tuduhan liar, ahli Parlimen patut saman sebagai pengajaran

Syed Ibrahim pada program Wacana Sinar Harian bertajuk 'Saman: Elak Fitnah Atau...' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
Syed Ibrahim pada program Wacana Sinar Harian bertajuk 'Saman: Elak Fitnah Atau...' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak yang terlibat dalam politik sama ada ahli Parlimen sehinggalah kepada Perdana Menteri terdedah kepada pelbagai dakwaan dan tuduhan.

Mengakui perkara berkenaan sebagai risiko kerja, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kebiasaannya mereka sudah imun terhadap perkara berkenaan.

"Tetapi apabila tuduhan atau fitnah berulang-ulang kali dan ada tujuan-tujuan jahat di sebaliknya untuk menjatuhkan (kerjaya) politik atau memburukkan peribadi, saya rasa ada ruang kita saman supaya perkara itu dijadikan pengajaran dan tidak diulang lagi," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Wacana Sinar Harian bertajuk 'Saman: Elak Fitnah Atau...' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Program Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Saman: Elak Fitnah Atau…’ bersama (dari kiri) Moderator, Ismail, Syed Ibrahim, Dr Muhammad Faiz dan Ahmad Nizam yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.
Program Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Saman: Elak Fitnah Atau…’ bersama (dari kiri) Moderator, Ismail, Syed Ibrahim, Dr Muhammad Faiz dan Ahmad Nizam yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Turut menjadi panel ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman dan Pengamal Undang-Undang, Ahmad Nizam Hamid manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Ujar Syed Ibrahim, dalam peringkat tertentu, tidak semua orang atau individu berada dalam situasi yang serupa.

"Saya sendiri tidak ada apa-apa yang kontroversi. Tetapi kalau ada pihak yang cuba untuk mencari ruang dan kemudian menuduh, memfitnah serta menjatuhkan kita, itu kena laksanakan proses saman," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dari sudut undang-undang, terdapat elemen-elemen yang boleh diambil tindakan.

"Saman itu mestilah ada bukti, rekod, rakaman yang dibuat dan tuduhan ke atas individu betul. Tetapi kalau umum contohnya, kita nak saman, itu saya rasa semata-mata untuk dapatkan perhatian supaya mereka akan tumpukan kepada kita.

"Saya rasa ada tempat-tempat tertentu kita boleh laksanakan saman dan saya tak rasa bahawa perkara ini hanya terhad kepada pemimpin di bawah tetapi juga pemimpin tertinggi," katanya.