Barangan elektrik ditenggelami air masih boleh dibaiki

Antara barangan elektrik milik penduduk Taman Desa Tanjung Damai di Gong Badak, Kuala Nerus yang dibaiki secara percuma.
Antara barangan elektrik milik penduduk Taman Desa Tanjung Damai di Gong Badak, Kuala Nerus yang dibaiki secara percuma.
A
A
A

KUALA NERUS - Barangan elektrik yang ditenggelami air tidak perlu dibuang begitu sahaja kerana ada antaranya masih boleh diselamatkan sekali gus dapat membantu mengelak mangsa banjir berdepan kerugian lebih besar.

Pengarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu, Kamaludin Tomiran berkata, khidmat membaiki barangan elektrik secara percuma dilakukan oleh kakitangan dan pelatih institut itu termasuk ketika bencana banjir luar biasa melanda Terengganu pada 27 Mac tahun lalu.

Ujar beliau, kali ini seramai 70 pelatih dan 20 kakitangan membaiki lebih 150 barangan elektrik milik mangsa banjir di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, di sini yang terjejas dalam bencana banjir pada 20 Disember lalu.

"Pelajar-pelajar yang terlibat adalah dalam jurusan pendingin udara (aircond), jentera elektrik, elektrik serta mesin dan pengeluaran.

"Kebanyakan barangan yang dihantar untuk dibaiki ialah kipas, mesin basuh, peti sejuk serta pelbagai barangan elektrik yang ditenggelami air namun masih boleh dibaik pulih dan digunakan.

"Barangan yang dibaiki akan diuji terlebih dahulu oleh pegawai ILP sebelum diserahkan kembali kepada mangsa banjir bagi memastikan ia selamat digunakan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Isnin.

Menurut Kamaludin, khidmat itu disediakan berdasarkan permintaan bagi membantu meringankan bebanan dihadapi mangsa banjir.

"Ini merupakan program kelima yang dilaksanakan. Sebelum ini pada Mac tahun lalu kita telah membantu membaiki barangan elektrik yang rosak di empat buah kampung di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian daripada pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu membaiki barangan elektrik mangsa banjir di Taman Desa Tanjung Damai di Kuala Nerus.
Sebahagian daripada pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu membaiki barangan elektrik mangsa banjir di Taman Desa Tanjung Damai di Kuala Nerus.

"Ketika itu, daerah berkenaan teruk terjejas kerana dilanda banjir di luar jangkaan menyebabkan banyak barangan elektrik tidak sempat diselamatkan," ujar beliau.

Sementara itu, seorang penduduk, Siti Azura Ismail, 49, berkata, dia turut menghantar sebuah peti sejuk yang ditenggelami air selama empat hari dalam bencana banjir baru-baru ini.

Katanya, dia agak terkilan kerana baru mengetahui bahawa terdapat barangan elektrik yang masih boleh diselamatkan dan dibaiki walaupun ditenggelami air.

"Banjir yang berlaku secara agak mengejut menyebabkan kami sekeluarga agak kelam kabut. Hanya sebuah mesin basuh sempat diletakkan ke tempat lebih tinggi.

"Dua buah televisyen lagi tidak sempat diselamatkan dan ditenggelami air. Saya tidak tahu pula ia sebenarnya masih boleh dibaiki kerana saya telah asingkan ia untuk dilupuskan," ujarnya.

Banjir melanda kawasan itu pada Disember lalu menyebabkan kira-kira 1,000 buah rumah di kawasan perumahan itu dinaiki air.