CEO GLC Perak kekal, prestasi kerja memuaskan

Saarani (tengah) menyampaikan sumbangan dana pendidikan kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan insentif kepada Pasukan Hoki Lelaki Perak di Pejabat Menteri Besar Perak, pada Jumaat.
Saarani (tengah) menyampaikan sumbangan dana pendidikan kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan insentif kepada Pasukan Hoki Lelaki Perak di Pejabat Menteri Besar Perak, pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Pentadbiran badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Perak terutama jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) akan dikekalkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan prestasi kerja yang ditunjukkan dalam usaha menambah baik pembangunan negeri.

Menurutnya, pengekalan itu antaranya melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan Lembaga Air Perak (LAP) yang mana beliau sendiri sebagai pengerusi.

"Selalu kalau bertukar ini, kalau melibatkan pertukaran menteri besar, tetapi sekarang menteri besar yang sama.

"Saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh CEO kita ini, jadi saya kekalkan lantikan mereka.

"Ada banyak program yang telah kita bina dan lancarkan bersama, begitu juga kita buat retrited untuk penambahbaikan, jadi kita beri peluang kepada mereka melaksanakannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan dana pendidikan kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan insentif kepada Pasukan Hoki Lelaki Perak di Pejabat Menteri Besar Perak, di sini pada Jumaat.

Saarani berkata, tempoh perkhidmatan bagi sebahagian CEO berkenaan telahpun dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi.

Artikel Berkaitan:

"Sebahagiannya telah kita perbaharui kontraknya sebelum pilihan raya lagi, jadi sebaiknya kita teruskan," katanya.