'Tragedi Batang Kali tak jejas sektor pelancongan Selangor'

Lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm Batang Kali. Gambar kecil: Loy Sian
Lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm Batang Kali. Gambar kecil: Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri yakin sektor pelancongan di Selangor tidak terjejas dengan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, aktiviti perkhemahan merupakan satu daripada produk pelancongan yang ditawarkan.

Menurut Loy Sian, sektor pelancongan negeri tidak hanya bergantung kepada satu produk pelancongan tetapi ia meliputi pelbagai tawaran yang bersesuaian dengan keadaan semasa.

"Aktiviti perkhemahan hanya satu daripada produk pelancongan, ia (tragedi tanah runtuh) tidak banyak mempengaruhi sektor pelancongan negeri Selangor, kesannya hanya sedikit sahaja.

"Banyak lagi tempat pelancongan mereka boleh pilih selain menyertai aktiviti perkhemahan," katanya ketika mengulas kedatangan pelancong ke Selangor selepas insiden tanah runtuh 16 Disember lalu pada Khamis.

September lalu, media melaporkan Selangor telah diumumkan sebagai destinasi pelancongan domestik utama di Malaysia, dengan lebih 10.2 Juta pelancong telah melawat ke negeri ini pada tahun 2021.

Selangor telah mengatasi beberapa negeri lain seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (9.1 juta), Sarawak (6.5 juta), Negeri Sembilan (5.5 juta) dan Pulau Pinang (5.1 juta).

Dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor pada 16 Disember lalu, jumlah mangsa terlibat disahkan seramai 92 orang.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, mangsa yang selamat dan cedera adalah seramai 61 orang dan 31 dilaporkan terkorban.