43,789 ekor ternakan mati akibat banjir di Terengganu

(Gambar kir)i: Kambing yang mati akibat banjir (Gambar kanan): Kandang mikik penternak yang terjejas akibat banjir. - Foto JPV.
(Gambar kir)i: Kambing yang mati akibat banjir (Gambar kanan): Kandang mikik penternak yang terjejas akibat banjir. - Foto JPV.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Bencana banjir yang melanda Terengganu bermula minggu lalu menyebabkan sektor penternakan kerugian lebih RM3.47 juta akibat kematian ternakan, kerosakan kandang, pagar dan peralatan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veteriner (JPV) Terengganu, Dr Anun Man berkata, sebanyak 43,789 ekor lembu, kerbau, kambing, biri-biri, ayam, itik, puyuh dan rusa dilaporkan mati dalam bencana tersebut.

Menurutnya, ternakan ayam merekodkan jumlah kematian paling tinggi iaitu sebanyak 37,612 ekor diikuti puyuh (4,000), itik (1,442), lembu (502), kambing (142), biri-biri (64), kerbau (20) dan rusa (7).

“Setakat Ahad, kita sudah menerima sebanyak 712 laporan aduan yang melibatkan sektor ternakan dan daripada jumlah itu, Besut merekodkan kes paling tinggi berikutan dilanda banjir besar diikuti Setiu dan Kemaman.

“Kita tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kes kerana masih ada penternak yang belum membuat laporan secara rasmi kepada JPV,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Dr Anun berkata, kebanyakan haiwan tersebut dilaporkan mati akibat ditenggelami banjir, dihanyutkan arus deras dan kesejukan selepas tidak sempat diselamatkan susulan air naik secara mendadak.

Jelas beliau, selain kematian, banjir yang berlaku di Terengganu kerana fenomena Monsun Timur Laut turut menjejaskan 365,600 ekor ternakan lembu, kerbau, kambing, biri-biri, ayam, itik, puyuh dan rusa di seluruh negeri.

“Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah masih mengumpul data jumlah ternakan terjejas banjir dan kita minta penternak terlibat membuat aduan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian banjir minggu lalu, lebih 40,000 penduduk di lapan daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Besut, Setiu, Marang, Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman dipindahkan ke pusat pemindahan selamat.

Besut merupakan daerah paling teruk terjejas apabila hampir keseluruhan kawasan dinaiki air selain ada penduduk kehilangan rumah kerana dihanyutkan arus deras.