MAFS galak pemodenan, penggunaan teknologi dalam pertanian

Foong Hin (kiri) mengadakan kunjungan hormat kepada Hajiji di pejabatnya di Menara Kinabalu.
Foong Hin (kiri) mengadakan kunjungan hormat kepada Hajiji di pejabatnya di Menara Kinabalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memberi penekanan kerjasama strategik bersama kerajaan negeri dari segi menggalakkan pemodenan dan penggunaan teknologi dalam aktiviti pertanian.

Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata, langkah itu antara salah satu bentuk kerjasama bagi memperkukuhkan industri pertanian dalam negara.

Menurut Foong Hin, kementeriannya juga akan meneruskan aktiviti jelajah dalam sektor pertanian dan agromakanan di Sabah dan Sarawak.

"Pertemuan dua hala ini bertujuan untuk mengeratkan kerjasama strategik kementerian di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Wilayah Sabah dan Sarawak dalam menangani isu keterjaminan makanan.

"Turut dibincangkan pelbagai perkara termasuk pendekatan menghormati autonomi kerajaan wilayah dalam bidang pertanian serta meneroka ruang kerjasama terutamanya bersama Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah, yang diterajui Menterinya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Foong Hin mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Selasa.

Kunjungan tersebut adalah bersempena lawatan sulung Foong Hin ke Sabah sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 9 Disember lepas.

Ia turut disertai oleh Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Puan Hadriyani Ahmad, Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan dan Agensi MAFS.

Artikel Berkaitan:

Pada lawatan ini juga, Foong Hin juga mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri merentasi semua subsektor agromakanan disertai jabatan dan agensi berkaitan pertanian di Sabah bagi mendapatkan input, pandangan dan cadangan untuk terus memperkukuh industri pertanian secara mampan.

Ia juga akan dilaksanakan secara bersiri dan berterusan di kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak bagi terus memperkukuhkan agenda keterjaminan sekuriti makanan negara.