Tanah runtuh: Sistem komunikasi radio mudahkan penyelamat

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hulu Selangor, Helmi Usman turut berkomunikasi menggunakan sistem komunikasi radio ketika bertugas di Batang Kali.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hulu Selangor, Helmi Usman turut berkomunikasi menggunakan sistem komunikasi radio ketika bertugas di Batang Kali.
A
A
A

SHAH ALAM - Anggota penyelamat perlu mempelajari sistem komunikasi radio dan bukan hanya bergantung kepada kemudahan telefon bagi tujuan berkomunikasi khususnya di lokasi bencana.

Perkara itu dikongsi petugas di Unit Teknikal Komunikasi, Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Ibu Pejabat PBT, (PA) Muhammad Nur Firdaus Ilias.

Beliau mengambil iktibar tragedi tanah runtuh di Batang Kali 16 Disember lalu yang meragut 31 nyawa, namun isyarat talian telefon sangat lemah dan sukar berhubung bagi berkongsi maklumat di lokasi.

Beliau sehubungan itu merasakan pentingnya sistem komunikasi radio dipelajari oleh penyelamat sepertinya berbanding bergantung sepenuhnya penggunaan telefon yang mempunyai had-had tertentu.

Muhammad Nur Firdaus ketika bertugas dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali.
Muhammad Nur Firdaus ketika bertugas dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

"Pada hari kejadian, saya terdengar komunikasi radio frequensi VHF APM pada jam 2.30 pagi memaklumkan berkaitan situasi tanah runtuh di Batang Kali yang melibatkan hampir 100 mangsa dan terus menghubungi Ibu Pejabat APM untuk pengesahan.

"Saya dimaklumkan isyarat talian telefon sangat lemah di sana dan semua penyelamat menghadapi kesukaran untuk menghubungi antara satu sama lain.

"Mujurlah ada anggota membawa alat komunikasi radio frequensi VHF dan Government Integrated Radio Network (GIRN) yang dimiliki oleh APM, " katanya kepada pemberita pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Nur Firdaus berkata, beliau turut ke lokasi seawal jam 4 pagi pada hari kejadian untuk membantu menyediakan kemudahan telekomunikasi radio kerana pentingnya laporan di lokasi dan berhubung satu sama lain.

"Ini kerana saya difahamkan hubungan telefon sangat rendah capaiannya sehingga hari ketiga di mana beberapa syarikat telekomunikasi meletakkan menara sementara di lokasi kejadian agar talian kembali seperti sediakala," katanya.

Beliau menambah, sebagai anggota penyelamat mereka perlu mempelajari teknik menggunakan telekomunikasi radio, apatah lagi belajar menghubungi pihak ketiga sebagaimana dipelajari setiap anggota bertugas di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) masing masing.

"Pengalaman selama lebih 10 tahun mengendalikan komunikasi radio cukup mematangkan saya dengan ilmu radio VHF atau GIRN yang sering dilupakan apabila teknologi semakin maju seperti zaman sekarang, malah kita akan rasa panik apabila hubungan telefon dan data internet tidak berfungsi," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap orang ramai dapat mempelajari teknik komunikasi menggunakan radio dan mungkin mereka akan memerlukan kelebihan itu sekiranya berlaku kecemasan seperti insiden Batang Kali.