Tanah runtuh: Bina akses laluan, bawa keluar 50 kenderaan

Pegawai Keselamatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di hadapan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, pada Rabu. - Foto Bernama
Pegawai Keselamatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di hadapan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan menanam cerucuk besi di lokasi tanah runtuh berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, di sini akan dilaksanakan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, keputusan itu hasil mesyuarat pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

"Perancangan fasa satu itu dilaksanakan termasuk proses membina akses laluan bagi membolehkan 50 kenderaan membabitkan kereta, motosikal dan bas dibawa keluar dari MACA.

"Kemudian untuk fasa dua, kerja pemasangan cerucuk besi akan dilaksanakan di kawasan runtuhan yang dijangka mengambil masa selama dua minggu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pergerakan tanah dikesan masih berlaku sehingga satu meter dari keluasan runtuhan awal sekitar jam 1.50 petang Selasa.

"Berdasarkan penelitian kami, punca kejadian ini berlaku atas dua faktor iaitu punca takungan air bawah tanah serta berlakunya kebocoran saluran paip bawah tanah.

"Takungan dan kebocoran ini boleh berlaku disebabkan keadaan dan situasi fizikal bangunan ini yang terlalu lama dibina sejak 40 tahun lalu," katanya.

Menurutnya, pada masa ini kerja-kerja pemasangan canvas di lokasi runtuhan sudah dilaksanakan sehingga esok bagi menahan aliran air dan menghalang aliran air meresap dalam tanah.

"JKR juga akan memasang 10 alat mengesan pergerakan tanah di 10 titik panas di MACA yang menghantar isyarat sekiranya ada pergerakan tanah sepanjang kerja-kerja pemasangan cerucuk besi dilakukan.

"Sekiranya ada pergerakan tanah, maka petugas-petugas akan dipindahkan ke kawasan selamat dan akan menghentikan kerja-kerja pemasangan cerucuk serta baik pulih," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Eng Lai turut mengesahkan bahawa kejadian ini adalah kali kedua berlaku selepas kejadian hakisan tanah berlaku tiga tahun lalu di lokasi sama.