Tragedi Batang Kali: Polis siasat faktor kecuaian manusia

Sebuah trak PDRM yang membawa mayat mangsa dilihat keluar dari lokasi kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm Batang Kali pada 16 Disember lalu. - Foto Bernama
Sebuah trak PDRM yang membawa mayat mangsa dilihat keluar dari lokasi kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm Batang Kali pada 16 Disember lalu. - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Kertas siasatan membabitkan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, berada di fasa akhir bagi mengenal pasti sekiranya terdapat keculasan daripada mana-mana pihak.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan dijalankan bawah Seksyen 304A dan 209A Kanun Keseksaan yang dianggarkan telah lengkap 85 ke 90 peratus.

"Apabila pasukan mencari dan menyelamat keluar dari lokasi, baru pasukan kita boleh masuk dan mulakan siasatan.

Arjunaidi
Arjunaidi

"Siasatan kita adalah untuk mengenal pasti jika ada kecuaian mana-mana pihak sehingga menyebabkan kematian berkenaan.

"Kita siasat mana-mana pihak, kita tak boleh 'bias'," katanya pada sidang media di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini pada Selasa.

Arjunaidi berkata, seramai 77 individu telah dirakam keterangan terdiri daripada pengendali tapak, pekerja, anggota pasukan penyelamat, anggota polis, keluarga mangsa dan mangsa terselamat dalam tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 orang pada 16 Disember lalu.

Katanya, beberapa individu akan dirakam keterangan dalam masa terdekat terdiri daripada anggota penyelamat dan polis yang terawal menemui mayat mangsa, selain turut memanggil individu dari jabatan-jabatan kerajaan berkaitan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga sedang menunggu laporan daripada pihak hospital untuk mengesahkan punca kematian dan masih menunggu laporan patologi.

"Apabila cukup keterangan, mana-mana pihak yang didapati cuai kita akan tuduh. Tetapi cukup atau tidak cukup keterangan itu terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Arjunaidi berkata, pihaknya telah mengesan pemilik 20 buah kenderaan yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja mengeluarkan kenderaan berkenaan perlu dilakukan oleh pemilik terbabit.

Seramai 31 mangsa terbunuh manakala 61 terselamat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku sekitar jam 2.30 pagi itu.