Laporan tanah runtuh Batang Kali diperoleh akhir bulan ini

Seramai 31 mangsa terkorban manakala 61 terselamat dalam tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember 2022. Gambar kecil: Alexander Nanta Linggi
Seramai 31 mangsa terkorban manakala 61 terselamat dalam tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember 2022. Gambar kecil: Alexander Nanta Linggi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) kini dalam peringkat menyediakan draf laporan akhir kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, antara elemen yang diambil kira dalam penyiapan laporan itu adalah kerja-kerja ujian penyiasatan tanah di lapangan dan makmal serta penganalisisan data.

"Data daripada ujian itu sangat penting untuk dianalisis oleh pakar bagi menentukan mekanisme kegagalan termasuk dari aspek kejuruteraan geoteknik dan geologi.

"Laporan hasil penemuan dijangka diperoleh pada akhir Jun 2023 dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum dimuktamadkan bagi memudahkan semua pihak yang terlibat mengambil tindakan selanjutnya," jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Alexander, tidak dinafikan banyak pihak termasuk keluarga mangsa yang terjejas ingin mengetahui atau mendapatkan laporan akhir kejadian berkenaan.

"Justeru, saya memberi jaminan JKR sedang melakukan usaha yang terbaik untuk melengkapkan proses ini," jelasnya.

Dalam kejadian pada 16 Disember 2022, seramai 31 mangsa terkorban manakala 61 terselamat dalam tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali.