57 peratus jangkitan HIV akibat homoseksual di Johor

Hubungan homoseksual atau biseksual menyumbang 131 daripada 231 kes jangkitan HIV di Johor. - Foto 123rf (Gambar kecil: Tian Soon)
Hubungan homoseksual atau biseksual menyumbang 131 daripada 231 kes jangkitan HIV di Johor. - Foto 123rf (Gambar kecil: Tian Soon)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hubungan homoseksual atau biseksual menyumbang 131 daripada 231 kes jangkitan HIV di Johor sejak awal tahun sehingga kini.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, jumlah itu iaitu 56.7 peratus adalah tinggi berbanding faktor lain.

"Bagi kes HIV baharu pula golongan lelaki menyumbang 205 kes iaitu 88.7 peratus, manakala wanita 26 kes (11.3 peratus) untuk tempoh itu.

"Sementara kes HIV membabitkan usia 20 hingga 39 tahun (177 kes atau 76.6 peratus), 50 tahun ke atas (25 kes iaitu 10.8 peratus), 40 hingga 49 tahun (23 kes atau 10 peratus) dan 13 hingga 19 tahun (enam kes atau 2.6 peratus)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, ini diikuti hubungan heteroseksual (91 kes atau 39.4 peratus), perkongsian jarum suntikan (tiga kes atau 1.3 peratus), manakala yang tidak dapat dipastikan puncanya (enam kes atau 2.26 peratus).

Tian Soon berkata, secara keseluruhan 542 kes HIV dilaporkan di negeri ini dengan 21 kes kematian sehingga kini.

Beliau berkata, bagi kes AIDS pula, 274 kes dilaporkan berbanding 198 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu dan daripada jumlah itu 67 kes kematian dicatatkan berbanding 46 kes juga bagi tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Tian Soon berkata, kumulatif kes demam denggi di Johor pada Minggu Epid ke 51/2022 berjumlah 4,076 kes yang mencatatkan peningkatan 133.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 1,747 kes.

Artikel Berkaitan:

Katanya, daripada jumlah itu, 1,452 kes (35.6 peratus) dilaporkan dari lokaliti wabak dan 2,624 kes (64.4 peratus) dari lokaliti bukan wabak.

Tambahnya, pada Minggu Epid 51/2022 juga, sebanyak 152 kes demam denggi dilaporkan melibatkan 46 kes (30.3 peratus) dari lokaliti wabak dan 106 kes (69.7 peratus) dari lokaliti bukan wabak.

"Daerah yang melaporkan kes tertinggi adalah Johor Bahru (118 kes atau 77.6 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes diikuti Kulai (sembilan kes iaitu 5.9 peratus, Muar dan Segamat (masing-masing enam kes atau 3.9 peratus).

"Di Tangkak (empat kes atau 2.6 peratus), Kluang dan Mersing (masing-masing tiga kes atau 2.0 peratus) manakala Batu Pahat, Kota Tinggi dan Pontian (masing-masing satu kes atau 0.7 peratus).

Kata Tian Soon lagi, tiada kematian dilaporkan dalam minggu itu di seluruh negeri, manakala kumulatif kematian akibat denggi sehingga Minggu Epid 51/2022 merekodkan enam kes berbanding lima kes pada tahun lalu.