Ikat perut di musim tengkujuh

Razali membuat persiapan dengan menyimpan peralatan tangkapan di dalam bot milik di jeti Sungai Miang pada Isnin.
Razali membuat persiapan dengan menyimpan peralatan tangkapan di dalam bot milik di jeti Sungai Miang pada Isnin.
A
A
A

PEKAN - Kebanyakan nelayan pantai tradisional zon A di sekitar perkampungan Sungai Miang di daerah ini terpaksa mengikat perut kerana tidak dapat menangkap ikan pada musim tengkujuh.

Mereka mendakwa sudah biasa dengan situasi itu kerana saban tahun berdepan dengan waktu getir terbabit sehingga menyebabkan nelayan hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga.

Pada ketika ini kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada wang simpanan dan bantuan bulanan RM300 yang salurkan kerajaan.

Perkara itu diakui oleh Pengerusi Persatuan Nelayan kawasan Pekan, Abd Majid Dollah, 59 yang menyifatkan musim tengkujuh waktu paling mencabar apabila tiada pendapatan tatkala mereka bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat.

Bistaman menunjukkan pukat dan peralatan tangkapan ikan sudah disimpan di jeti Sungai Miang di sini.
Bistaman menunjukkan pukat dan peralatan tangkapan ikan sudah disimpan di jeti Sungai Miang di sini.

"Kita tidak boleh turun ke laut pada musim ini dan tiada pendapatan. Boleh dikatakan mereka hidup dengan bantuan serta wang simpanan untuk hidup sepanjang lima bulan

"Justeru, bantuan daripada kerajaan amat penting bagi membolehkan nelayan meneruskan kelangsungan hidup pada saat getir ini," katanya ketika ditemui di perkampungan Sungai Miang di sini pada Isnin.

Razali Karim, 49 pula memaklumkan sudah menggunakan semua simpanan yang ada sepanjang musim tengkujuh untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, wang simpanan yang ada terpaksa digunakan secara berjimat bagi mengelak terputus sumber kewangan.

"Pendapatan memang tiada pada ketika ini, sebab keadaan cuaca. Tapi saya ada buat simpanan masa pergi ke laut pada beberapa bulan sebelum ini.

"Hasil dari penjualan ikan itu, saya simpan sikit-sikit. Jadi, duit simpanan saya guna ketika musim tengkujuh ini, untuk belanja harian. Kalau tidak buat begini memang susah lah hidup anak dan isteri," ujar bapa kepada tiga anak itu.

Sementara itu, Bistaman Salleh, 42, pula mengakui terpaksa memikirkan alternatif lain untuk menambah pendapatan.

Menurutnya, ada segelintir nelayan yang masih berjuang untuk menangkap ikan dalam keadaan cuaca tidak menentu ini.

Banyak bot nelayan sudah didaratkan di tebing jeti Sungai Miang di sini.
Banyak bot nelayan sudah didaratkan di tebing jeti Sungai Miang di sini.

"Ada antara kami terpaksa turun ke sungai untuk menangkap ikan, ketam dan udang. Kerja ini kami lakukan bagi menambah pendapatan," ujarnya yang tidak berani berdepan dengan situasi getir di laut ketika musim tengkujuh.

Selain itu, dia mengharapkan kerajaan dapat menyalurkan bantuan tambahan selain elaun bulanan yang diterima.

Senada dengan itu, Yaakob Aliden, 40 yang sudah 10 tahun menjadi nelayan tradisional mengakui pendapatan terjejas setiap kali musim tengkujuh.

Namun, persiapan rapi termasuk membuat simpanan bagi membolehkan kehidupan diteruskan.

Dia memaklumkan semua kelengkapan penangkapan ikan telah disimpan bagi mengelak kerugian berganda.