'Tahun ini 10 kali banjir kilat'

Mohd Azlan Helmi (dua dari kiri) mendengar luahan Kam Fook (kiri) mengenai keadaan longkang yang mengakibatkan banjir kilat sering berlaku di kawasan tersebut.
Mohd Azlan Helmi (dua dari kiri) mendengar luahan Kam Fook (kiri) mengenai keadaan longkang yang mengakibatkan banjir kilat sering berlaku di kawasan tersebut.
A
A
A

BATU GAJAH - Masalah banjir kilat yang berlaku lebih 10 kali pada tahun ini amat meresahkan penduduk di 15 rumah di Kinta Valley di sini.

Wakil penduduk, Hoi Kam Fook, 60, berkata, kejadian bencana itu berlaku sejak sekian lama dipercayai disebabkan masalah perparitan di belakang kawasan penempatan berkenaan.

Katanya, longkang yang dibina sebelum ini pecah dan tidak sempurna menyebabkan aliran air ketika hujan lebat tidak dapat menampung aliran yang banyak.

"Dalam tahun ini sahaja rasanya lebih 10 kali air melimpah ke kawasan rumah kami sebab keadaan longkang yang tak dibaiki sejak sekian lama. Kami dah adukan masalah ini tapi masih belum ada penyelesaian.

"Tak tahu berapa lama lagi nak berhadapan masalah banjir ini tambahan pula sekarang ini musim hujan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kinta Valley di sini pada Sabtu.

Menurut Kam Fook, kebanyakan penduduk sudah tinggal di situ sejak 40 tahun dan masalah banjir kilat yang dihadapi pula sejak 20 tahun lalu.

Jelasnya, penduduk tidak tahu dengan siapa lagi masalah berkenaan perlu diadukan kerana aduan-aduan yang dibuat sebelum ini belum menampakkan penyelesaian.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Mohd Azlan Helmi Helmi turun padang meninjau permasalahan yang dihadapi penduduk berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditemui, beliau memaklumkan pihaknya akan mendapatkan pengesahan daripada pejabat Pembangunan Luar Bandar serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai masalah tersebut.

"Kita akan lihat pihak mana yang bertanggungjawab untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.

"Memandangkan masalah ini sudah berlarutan begitu lama, kita akan memikirkan langkah terbaik untuk menyelesaikannya," jelas beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak.