Jenama halal Malaysia merosot

Keyakinan terhadap jenama sektor halal Malaysia semakin menurun ekoran beberapa isu integriti membabitkan industri tersebut di dalam negara. - Gambar hiasan
Keyakinan terhadap jenama sektor halal Malaysia semakin menurun ekoran beberapa isu integriti membabitkan industri tersebut di dalam negara. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Keyakinan terhadap jenama sektor halal Malaysia semakin menurun ekoran beberapa isu integriti membabitkan industri tersebut di dalam negara, menurut Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH).

Setiausaha Agungnya, Dr Helmi Ibrahim berkata, antara isu besar mencalarkan imej industri halal negara adalah beberapa pendedahan mengenai status daging halal import yang diragui.

Beliau mendakwa, kerajaan dilihat masih belum menangani perkara tersebut secara menyeluruh bagi membolehkan keyakinan bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga antarabangsa dapat dipulihkan.

Jelas beliau, situasi itu juga secara langsung menjejaskan jenama sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kalau dulu orang tengok sijil halal Malaysia orang hormati dan yakin, tetapi sekarang ini sudah berkurang. Sebabnya adalah kita ada isu integriti dan kelompongan tentang kesahihan dan keabsahan tentang sijil halal ini gagal ditangani oleh kerajaan sebelum ini.

“Kedudukan negara seperti Indonesia dan Singapura ketika ini contohnya menunjukkan peningkatan prestasi lebih baik daripada Malaysia ketika ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pendedahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) pada Sabtu yang mengesan adanya daging diimport dicampur dengan daging kerbau atau daging babi.

Melalui laporan sama, jabatan berkenaan turut memaklumkan ada mengesan wujud ejen atau syarikat sering menggunakan taktik yang sama untuk cuba menyeludup masuk daging sejuk beku tidak halal ke negara ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dua taktik utama dikesan adalah menerusi pengikraran palsu dan menyembunyikan daging di sebalik produk yang diluluskan oleh agensi itu.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, Maqis mendedahkan bahawa syarikat terlibat dalam kegiatan penipuan itu turut menciplak label, pemalsuan cap serta menjalankan pembungkusan semula daging sejuk beku import.

Sementara itu, Helmi berkata, kemerosotan imej industri halal ekoran daripada beberapa insiden tersebut sememangnya menyebabkan kerugian terhadap ekonomi negara terutamanya daripada segi keupayaan untuk menarik pelaburan baharu.

“Sebelum ini syarikat banyak datang ke Malaysia untuk melabur sebab dia nak sijil halal Jakim. Tapi sekarang ini bila perkara ini berlaku dia tidak perlulah nak labur di Malaysia sebab lebih baik pergi dekat Indonesia yang sijil halal tidak diragui langsung,” tegasnya.

Bagi mengatasi isu tersebut, Helmi berkata, kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar perlu mengadakan perbincangan bersama dengan pemegang taruh industri halal di dalam negara bagi menyelesaikan isu integriti itu secara menyeluruh.

“Kita nak mencari penyelesaian yang konklusif terhadap isu daging tidak halal yang boleh masuk ke pasaran di dalam negara,” ujarnya yang turut berharap agar perbincangan itu dapat dibuat dalam masa terdekat.

Pada masa sama, beliau yang juga ahli jawantakuasa Pasukan #RasuahBusters turut mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pendedahan terbaharu yang dbuat oleh Maqis itu.

Sinar Harian pada 2 Disember 2020 mendedahkan mengenai taktik jahat kartel yang menyeludup sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Antara isu besar mencalarkan imej industri halal negara antaranya adalah beberapa pendedahan mengenai status daging halal import yang diragui.