Daya saing pelaburan Malaysia semakin luntur - Pakar ekonomi

Noor Azlan
Noor Azlan
A
A
A

SHAH ALAM - Struktur geopolitik kuasa besar ekonomi di antara Amerika Syarikat dan China didakwa memberi kesan terhadap ekonomi global termasuklah Malaysia.

Menurut pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, daya saing negara dalam menarik pelaburan asing semakin luntur.

“Benar kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bahawa persaingan dalam menarik pelaburan asing semakin sengit dan landskap persaingan global telah berubah dengan nyata.

“Dari ASD175 bilion pelaburan asing yang masuk ke rantau Asia Tenggara dalam tahun 2021, sekitar tujuh peratus sahaja mendarat di Malaysia, manakala negara jiran, Singapura mengaut sebanyak 57 peratus.

“Bagi Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina kini semakin mantap dan perkara itu jelas menunjukkan bahawa daya saing kita semakin luntur. Dahulunya pada tahun 1980, sebanyak 35 peratus milik kita tetapi kini sekitar tujuh hingga lapan peratus sahaja,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman sosial, Facebook pada Rabu.

Noor Azlan berkata, merujuk kepada Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan, dari tangga ke-10 terbaik dunia pada tahun 2010, kini Malaysia turun ke tangga 32 pada 2022.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan Aspirasi Pelaburan Negara yang meletakkan lima ciri utama untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Antaranya kecanggihan teknologi pelaburan, kualiti pekerjaan yang dicipta, limpahan peluang kepada industri kecil dan sederhana domestik, impak kepada industri strategik negara dan implikasi kepada mengecilkan jurang pembangunan wilayah.

“Malaysia perlu lebih strategik dalam menarik pelaburan dan MITI perlu kongsi kemajuan dalam setiap satu daripada lima teras tersebut,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai untuk tidak menyalahkan kerajaan kini kerana trend penurunan bukan sesuatu perkara baharu.

Ujarnya, negara perlu bergerak kehadapan dan permasalahan itu bukan tanggungjawab MITI sahaja tetapi perlu ditangani secara bersama.