Berusaha selesai Perjanjian Air Malaysia-Singapura

Saifuddin (dua,kiri) menerima cenderamata dari Wahid (tiga,kiri) selepas menyempurnakan Seminar Antarabangsa Mengenai Isu Global di UTM Skudai, di sini, hari ini.
Saifuddin (dua,kiri) menerima cenderamata dari Wahid (tiga,kiri) selepas menyempurnakan Seminar Antarabangsa Mengenai Isu Global di UTM Skudai, di sini, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Luar akan berusaha mencari penyelesaian berhubung Perjanjian Air Malaysia-Singapura yang sekian lama enggan dibincangkan negara republik berkenaan.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, fokus utama kerajaan kini adalah mahu mendapatkan kata sepakat dari Singapura bagi membolehkan perbincangan fasa kedua dijalankan.

Menurutnya fasa itu adalah melibatkan perbincangan lanjut mengenai kebarangkalian boleh dilakukan pindaan harga jualan bekalan air bersih dari negara berkenaan.

“Sejak dahulu Singapura memang tidak mahu berbincang mengenai perkara ini (perjanjian air). Tetapi baru-baru ini mereka telah bersetuju dan kedua-dua peguam negara telah pun berjumpa untuk berbincang.

“Fokus utama sekarang adalah untuk kita mencapai persefahaman kepada fasa kedua perbincangan, iaitu mengenai mobiliti harga (price mobility),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Seminar Antarabangsa Mengenai Isu Global di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini, hari ini. Hadir sama, Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Wahid Omar.

Saifuddin berkata, persetujuan antara kedua-dua pihak juga amat penting bagi membolehkan kemelut itu boleh dilakukan menerusi penyelesaian dengan kaedah timbang tara (arbitrasi).

“Sekarang ini Singapura memang menolak lagi bila kita bercakap mengenai mobiliti harga, perkara ini yang perlu diselesaikan dengan cepat jika kita mahu ia diselesaikan dengan arbitrasi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan Kementerian Luar juga memberi jaminan akan ada perkembangan positif dalam tempoh enam bulan mengenai isu kesesakan lalu lintas di Tambak Johor.

“Buat pertama kali kerajaan telah menjalankan perbincangan bersama Singapura mengenai kesesakan lalu lintas yang berlaku setiap hari di Tambak Johor. Mereka juga memberikan kerjasama yang baik.

“Buat masa ini antara cadangan awal dibangkitkan adalah penambahan pondok kawalan kastam dan imigresen oleh kedua-dua pihak, tetapi kita kena perincikan lagi sebab bila lihat balik keluasan kawasan tersebut tidak memang tidak sesuai,” katanya.