26 syarikat tunai zakat perniagaan RM44.8 juta

Mohd Na'im (sembilan dari kanan) dan Abdul Aziz (sembilan dari kiri) bergambar bersama pembayar zakat perniagaan pada Khamis.- FOTO SINAR HARIAN/RAFEQ REDZUAN
Mohd Na'im (sembilan dari kanan) dan Abdul Aziz (sembilan dari kiri) bergambar bersama pembayar zakat perniagaan pada Khamis.- FOTO SINAR HARIAN/RAFEQ REDZUAN
A
A
A

PUTRAJAYA - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima bayaran zakat perniagaan sebanyak RM44.8 juta daripada 26 syarikat korporat pada Majlis Zakat Korporat 2022 di Hotel Everly di sini.

Penyerahan zakat perniagaan disampaikan oleh wakil syarikat kepada PPZ-MAIWP dan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, setakat Januari hingga November lalu, PPZ-MAIWP telah mengutip zakat perniagaan hampir RM103 juta daripada 3,457 pembayar.

Menurutnya, pembayaran zakat perniagaan itu akan terus diserahkan kepada pihak MAIWP untuk diagihkan kepada lebih 30,200 keluarga asnaf di Wilayah Persekutuan.

"Kami turut menawarkan Skim Wakalah atau pengembalian semula wang zakat kepada syarikat-syarikat korporat untuk dimanfaatkan semula kepada kakitangan dan mereka yang memerlukan dengan kadar 37.5 peratus hingga 50 peratus.

"PPZ-MAIWP merakamkan ucapan terima kasih kepada syarikat korporat yang menunaikan zakat di PPZ-MAIWP. Antara salah satu rahsia kejayaan syarikat-syarikat ini adalah dengan menunaikan zakat," katanya pada Khamis.

26 syarikat yang menunaikan zakat adalah Amanah Raya Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana (M) Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, Co-opbank Pertama Malaysia Berhad.

Abdul Aziz (kiri) menerima zakat perniagaan daripada SSM disaksikan Mohd Na'im (tengah). - FOTO SINAR HARIAN/RAFEQ REDZUAN
Abdul Aziz (kiri) menerima zakat perniagaan daripada SSM disaksikan Mohd Na'im (tengah). - FOTO SINAR HARIAN/RAFEQ REDZUAN

Artikel Berkaitan:

Turut berzakat FIC Integrated Property Management Sdn Bhd, GITN Sdn Bhd, Harta Maintenance Sdn Bhd, Institut Jantung Negara, Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad, Kolej Poly-Tech Mara, KPJ Group, Payment Network Malaysia Sdn Bhd.

Selain itu, Peninsular Offshore System Sdn Bhd, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Ramly Food Processing Sdn Bhd, SIRIM QAS International Sdn Bhd, Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Syarikat korporat yang lain ialah Takaful Ikhlas Family Berhad, Takaful Ikhlas General Berhad, Tenaga Nasional Berhad, UEM Edgenta Berhad, UMW Holdings Berhad, Zurich General Takaful Malaysia Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata, pihaknya berbangga dan bersyukur kerana kesedaran berzakat semakin meningkat serta meluas dalam kalangan umat Islam di peringkat individu, perniagaan mahupun korporat.

"Alhamdulillah setakat Januari hingga November lalu, kutipan zakat perniagaan meningkat sebanyak 6.8 peratus iaitu RM102.7 juta berbanding RM95.7 juta tahun lepas.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru syarikat-syarikat di luar sana untuk tampil menunaikan zakat perniagaan mereka di PPZ-MAIWP," katanya.