Fokus kerja untuk rakyat pula

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja sempena lawatan kerja sehari beliau ke Kelantan pada Rabu. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja sempena lawatan kerja sehari beliau ke Kelantan pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

BAGI mereka yang mengikuti persidangan khas Parlimen pada Isnin, pelbagai sikap wakil rakyat dapat disaksikan ketika sesi pembahasan bagi menentukan keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Sesetengah wakil rakyat bertindak mengeluarkan kata-kata kurang sopan sehingga membuatkan sidang Dewan Rakyat sedikit kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara ahli Parlimen.

Keputusan keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti menerusi undian suara di Dewan Rakyat.

Ia sekali gus menutup mulut pengkritik yang mempertikaikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Sebagai seorang pemimpin yang telah diamanahkan oleh rakyat, ahli Parlimen seharusnya menjaga tingkah laku, apatah lagi di dalam Dewan Rakyat yang mulia.

Kini keabsahan Anwar sudah terbukti. Eloklah semua wakil rakyat balik semula ke landasan dan tujuan sebenar menyertai politik iaitu untuk membantu rakyat dan membangunkan negara.

Sudah-sudahlah bertindak kebudak-budakan, sebaliknya mulakan langkah untuk berkhidmat dan menyenangkan rakyat.

Kita sudah melalui zaman ketidakstabilan yang memeritkan apabila dalam tempoh empat tahun sebanyak tiga individu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Ketidakstabilan politik boleh menyebabkan pelabur tidak datang dan menjejaskan ekonomi negara.

Media melaporkan, Penganalisis Politik, Profesor Dr Rusdi Omar berkata, sudah masanya kerajaan melakukan kerja selepas Anwar membuktikan keabsahannya.

"Sekarang ini masa untuk Anwar dan menterinya lakukan kerja.

Fokus utama harus diberikan untuk selesai isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

"Bukan masanya lagi untuk ahli Parlimen berfikir mengenai peralihan kuasa dan sebagainya," katanya pada Isnin.

Beri peluang kepada Anwar dan barisan kabinet untuk merangka strategi dan melaksanakannya dengan cekap dan efisien demi kesejahteraan rakyat tanpa sebarang gangguan.

Rakyat tersepit

Hakikatnya, Malaysia merekodkan 434,197 ketua isi rumah (KIR) tergolong dalam kelompok miskin dan miskin tegar dengan kehidupan kumpulan itu semakin tersepit apabila negara dilanda kenaikan kos sara hidup akibat inflasi.

Daripada angka 434,197 itu, sebanyak 130,709 mewakili KIR berstatus miskin tegar, manakala 303,488 lagi mewakili KIR berstatus miskin.

Ditambah dengan kenaikan harga barang berikutan pelbagai faktor dalaman dan luaran.

Bukan sahaja barangan keperluan asas yang dijangka mengalami kenaikan harga, malah makanan yang dijual di kedai makan dan gerai juga bakal meningkat.

Penganalisis turut meramalkan gelombang peningkatan harga barangan dijangka berterusan sehingga tahun hadapan.

Menurut mereka, ia berdasarkan jangkaan penyusutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perkembangan ekonomi global.

Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff memberitahu, situasi penyusutan KDNK yang dilihat menyumbang kepada kelemahan ringgit akan meningkatkan harga barangan khususnya makanan yang rantaian bekalannya bergantung kepada bahan import.

Tugas itu bukan mudah dan tidak mungkin boleh diselesaikan sekelip mata, justeru wajar untuk diberikan masa yang secukupnya dan mendapat sokongan daripada semua pihak.

Oleh itu, Anwar mengajak semua ahli Parlimen sama ada di pihak kerajaan dan juga pembangkang untuk segera menghentikan intrik politik yang boleh membawa ke kancah perpecahan.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu untuk sama-sama memainkan peranan dalam memacu Malaysia ke arah yang lebih baik.

Semua pihak perlu memberi perhatian sepenuhnya untuk merapatkan hubungan demi memupuk semangat kebersamaan sekali gus membangunkan negara dan memulihkan ekonomi serta kehidupan rakyat.

Jika ada perkara berbangkit, beri kritikan secara membina dan bijak, bukannya bertindak secara membuta tuli terutama berkaitan sesuatu isu yang melibatkan kepentingan rakyat.

Buat masa sekarang, tumpu kepada kebajikan rakyat, itu yang terpenting.

*Roskhoirah Yahya ialah wartawan Sinar Harian