[VIDEO] Keabsahan Anwar sebagai PM terbukti

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbukti apabila usul undi percaya terhadapnya diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada Isnin.

Keputusan berkenaan yang diperoleh menerusi undian secara suara majoriti turut membuktikan Menteri Kewangan itu memperoleh sokongan daripada Ahli Parlimen.

Terdahulu Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengumumkan keputusan berkenaan selepas usul itu dibahaskan oleh 12 ahli Parlimen antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut); Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu); Lim Guan Eng (DAP-Bagan); Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor); Rafizi Ramli (PH-Pandan) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya) membentangkan usul undi percaya terhadap Anwar pada sesi petang Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke-15.

Fadillah memaklumkan, usul itu bertujuan menyokong sepenuhnya pelantikan dan kepimpinan Anwar selaku Perdana Menteri demi kejayaan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu pada sesi pembukaan Dewan Rakyat, Johari yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas memperoleh undi sokongan tertinggi daripada ahli Parlimen.

Selain Johari, dua calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang dinamakan oleh blok kerajaan iaitu Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Md Nor dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau turut dipilih menyandang jawatan berkenaan setelah memperoleh majoriti menerusi undi bersurat.

Artikel Berkaitan: