Batal MPN antara perubahan dilakukan Kerajaan Perpaduan

Pelbagai keputusan telah dibuat setelah Anwar mempengerusikan mesyuarat kabinet pada Rabu.
Pelbagai keputusan telah dibuat setelah Anwar mempengerusikan mesyuarat kabinet pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah Kerajaan Perpaduan dibentuk dengan sepenuhnya pada 9 Disember lalu, banyak perubahan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setelah beliau mempengerusikan mesyuarat kabinet pada Rabu pelbagai keputusan telah dibuat bersama bagi memanfaatkan semua pihak terutama rakyat.

Antaranya, kabinet bersetuju untuk membatalkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang telah ditubuhkan pada 21 Julai 2021 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

MPN yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bertujuan merangka strategi dan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

Jelas Anwar, MPN dibatalkan kerana didapati berlaku pertindihan jawatan yang menyebabkan kerajaan perlu menampung kos besar.

Selain itu, Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan akan meneliti cadangan untuk membubarkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

Ini kerana katanya, fungsi GIACC itu didapati berlaku pertindihan antara agensi penguat kuasa iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

GIACC diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan anti-rasuah di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Pusat itu bertanggungjawab dalam merancang, menggubal strategi dan menilai polisi bagi memastikan semua urusan kerajaan dilaksanakan berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.

Bagi penulis, tindakan yang dilakukan tersebut adalah bertepatan memandangkan hutang negara yang semakin tinggi dan negara berdepan bencana.

Oleh itu, wang tersebut boleh dimanfaatkan kepada saluran yang lebih tepat agar dapat mrmbantu golongan memerlukan.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah dipindahkan kepada kerajaan negeri itu.

Menurutnya, keputusan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963.