YaPEIM edar 300,000 modul BM, Sejarah kepada calon SPM

Awang ketika berucap pada Majlis Apresiasi YaPEIM bersama media. - FOTO RAFEQ REDZUAN
Awang ketika berucap pada Majlis Apresiasi YaPEIM bersama media. - FOTO RAFEQ REDZUAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengedarkan hampir 300,000 modul Inspirasi Pendidikan YaPEIM 2022 Bahasa Melayu dan Sejarah kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Awang @ Musran Tawil berkata, cetakan modul diagihkan secara berperingkat membabitkan 144 Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara.

Jelasnya, sasaran sebanyak 2,452 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menerima manfaat itu.

“Ini dengan anggaran penglibatan 20 hingga 80 orang pelajar bagi setiap sekolah seluruh negara.

“Objektif pelaksanaan Inspirasi Pendidikan YaPEIM 2022 bertujuan menyantuni pelajar-pelajar kategori lemah dan sederhana.

“Selain itu, ia bertujuan membantu pembangunan modal insan dan kemenjadian pelajar serta memberi tip dan teknik kepada pelajar bagi mencapai tahap lulus dan seterusnya cemerlang dalam peperiksaan SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi YaPEIM bersama media di sini pada Rabu.

Selain itu, katanya, YaPEIM turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa guru cemerlang dan berpengalaman dari seluruh negara bagi kedua-dua subjek berkenaan untuk mengadakan kelas secara bersiri menerusi platform Youtube.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, YaPEIM menganggarkan kira-kira 400,000 pelajar bakal menerima manfaat hasil pengagihan modul dan kelas pembelajaran secara dalam talian itu.

Awang ketika menyampaikan cenderamata kepada pengamal media. - FOTO RAFEQ REDZUAN
Awang ketika menyampaikan cenderamata kepada pengamal media. - FOTO RAFEQ REDZUAN

“Pendidikan telah menjadi salah satu fokus YaPEIM dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi ummah.

"Ini kerana melalui pendidikan secara tidak langsung akan meningkatkan sosioekonomi dan negara,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, sejak tahun 1985 sehingga 30 November 2022, YaPEIM telah mengagihkan lebih RM800 juta membabitkan 8.29 juta penerima manfaat di seluruh negara.

Menurut beliau, ia membabitkan program kebajikan, sosioekonomi dan keusahawanan yang dilakukan secara inklusif dan sistematik.

“Penerima manfaat YaPEIM terdiri dikalangan keluarga miskin, pelajar miskin, usahawan asnaf, anak yatim dan miskin, keluarga B40, institusi pendidikan serta kumpulan sasar yang dikenal pasti,” ujarnya.

Tambah Awang, Ar-Rahnu YaPEIM pula, sehingga 30 November 2022 kira-kira 11.6 juta transaksi membabitkan pembiayaan berjumlah kira-kira RM13.9 bilion dengan nilai marhun (nilai barang gadaian) berjumlah RM21.3 bilion.

“Kini AR-Rahnu YaPEIM mempunyai 213 cawangan termasuk sembilan cawangan bergerak (mobil),” ujarnya.