Peguam Ebit Lew pertikai polis rampas bahan bukti dari LGMS

Ram (kiri) bersama anak guamnya, Ebit tiba di Mahkamah Majistret Tenom.
Ram (kiri) bersama anak guamnya, Ebit tiba di Mahkamah Majistret Tenom.
A
A
A

TENOM - Pihak pembelaan mempertikaikan tindakan polis merampas dokumen daripada syarikat LGMS bagi kes membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew yang dilakukan tanpa kebenaran daripada anak guamnya.

Bagaimanapun, dalam pemeriksaan balas perbicaraan yang berlangsung pada Rabu, saksi keempat, Asistan Superintenden Polis (ASP) Siti Nooraini Mohd Sahid memberitahu mahkamah bahawa beliau dan pasukan polis dari Bukit Aman datang ke LGMS selepas mendapat arahan daripada pegawai pendakwa raya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peguam bela, Ram Singh ketika sesi pemeriksaan balas dalam perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom di sini.

Siti Nooraini turut menjelaskan bahawa tujuan beliau dan pasukan Bukit Aman datang ke LGMS untuk mengambil keterangan saksi dan juga mengambil bahan bukti yang lain dari pihak LGMS.

Diminta menjelaskan lanjut mengenai bahan bukti berkenaan, Siti Nooraini sekali lagi menjelaskan bahawa bahan bukti itu adalah laporan forensik digital daripada pihak LGMS dan juga data atau maklumat yang telah diberikan oleh pihak Ebit untuk dibuat analisis forensik.

Ditanya lanjut, adakah Siti Nooraini ada mengemukakan sebarang waran daripada mana-mana mahkamah di Malaysia sebelum memasuki LGMS dan mendapatkan dokumen daripada LGMS, beliau menyatakan tidak ada.

Malah dalam kenyataannya ketika ditanya Ram, beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa tidak mendapat kebenaran daripada anak guam dalam kes itu (Ebit).

Dalam prosiding berkenaan, Ram mengandaikan bahawa Siti Nooraini dan pasukan dari Bukit Aman telah merampas dokumen daripada LGMS pada 30 November 2022 secara tidak sah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun dalam jawapan Siti Nooraini menyatakan beliau tidak bersetuju bahawa pihaknya telah mengambil dokumen tanpa kebenaran sama ada daripada Ebit atau pihak mahkamah.

Siti Nooraini turut memaklumkan dia hanya tahu bahawa pihak Ebit telah membuat bayaran laporan digital forensik daripada LGMS setelah keterangan saksi diambil.

Sebelum itu, LGMS merupakan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan keselamatan siber profesional Malaysia.

Mahkamah menetapkan perbicaraan disambung pada jam 10 pagi Khamis dan Siti Nooraini kekal sebagai saksi pada prosiding berkenaan.

Dalam perbicaraan ini, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, diwakili barisan peguamnya iaitu Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

Ebit berhadapan dengan berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.