Pelik jika orang Melayu bimbang diancam - Aziz Bari

Abdul Aziz pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu. - Foto Korporat SUK Perak
Abdul Aziz pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu. - Foto Korporat SUK Perak
A
A
A

IPOH - Tidak ada parti politik yang boleh mengancam kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Dr Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) berkata, kedudukan dalam perlembagaan atau undang-undang tubuh telah menetapkan betapa kedudukan raja-raja, bahasa Melayu dan Islam tidak boleh disentuh apalagi dipinda sebagaimana yang termaktub di bawah Perkara 63(5) dan 72(5) serta 159 (5).

Menurutnya, di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Perkara 12(2) juga ada menyatakan bahawa Menteri Besar mesti orang Melayu dan Islam dan Perkara 26C yang menetapkan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri mesti Melayu dan Islam.

"Ini semua adalah peruntukan undang-undang yang menunjukkan betapa kebalnya kedudukan orang Melayu dan Islam.

"Hatta di Parlimen pun tidak boleh menyentuh atau membawa usul memansuhkan institusi beraja, jadi tidak timbul soal atau tuduhan bahawa Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada 'Republican' atau orang yang cenderung untuk memansuhkan sistem beraja kerana ia tidak boleh dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu.

Abdul Aziz berkata, semasa titah Diraja pada Selasa, baginda Sultan mengambil maklum bahawa dari lebih 2.5 juta penduduk Perak, 61.5 peratus adalah orang Melayu, selebihnya 26.7 peratus Cina dan 11.3 peratus India.

"Secara mudahnya jumlah penduduk Melayu adalah 1.6 kali atau hampir dua kali ganda penduduk bukan Melayu.

Artikel Berkaitan:

"Anehnya golongan Melayu yang merupakan golongan majoriti dan penduduk asal ini yang berasa takut dan bimbang diancam. Ini satu fenomena yang pelik lagi ganjil, berlawanan dengan logik dan fitrah alam," katanya.

Bekas Exco Kerajaan Negeri itu turut menegaskan, dakwaan ada parti tertentu yang menjadi kerajaan akan memberikan hak milik kekal tanah kepada penduduk kampung baharu adalah tidak benar.

Menurutnya, perkara sedemikian bukanlah asas atau perkara pokok dalam Perlembagaan tetapi terikat kepada undang-undang sedia ada.

"Kata nak bagi tanah pada Cina adalah satu fitnah, mengarut, tidak timbul soal itu. Kalau soal tanah tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri sepertimana dalam Kanun Tanah Negara.

"Setiap perkara itu mesti dibawa dalam Parlimen atau Dewan, tidak ada yang boleh dilakukan secara senyap-senyap di belakang, tidak ada," katanya bagi menjawab soalan Rahim Ismail (Pas-Changkat Jering) yang bangun mencelah perbahasan.