NFCC gubal undang-undang harta sitaan, lucut hak

Mustafar (kanan) memberi penerangan kepada Danny Woo (tengah) mengenai peranan NFCC, sambil diperhatikan oleh Abu Kassim di Putrajaya pada Selasa.
Mustafar (kanan) memberi penerangan kepada Danny Woo (tengah) mengenai peranan NFCC, sambil diperhatikan oleh Abu Kassim di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) sedang berusaha menggubal undang-undang bagi meminda akta sedia ada melibatkan harta sitaan dan lucut hak.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, jemaah menteri sebelum ini bersetuju memutuskan NFCC diberi mandat untuk menguruskan harta-harta sitaan agensi kerajaan dan harta dilucutkan hak milik.

Katanya, pengurusan aset sitaan dan lucut hak tersebut dilakukan oleh NFCC bersama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang termasuk daripada Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, hasil daripada penggubalan akta tersebut akan dibentangkan kepada pihak kabinet, seterusnya pembentangan rang undang-undang di peringkat Parlimen.

"Maka nanti akan terbentuk satu agensi pusat yang akan ditadbirkan pengurusannya oleh NFCC untuk melaksanakan pengurusan aset sitaan dan harta lucut hak.

"Perkara ini memerlukan pemerhatian langsung oleh sebuah agensi yang diberi tanggungjawab sepenuhnya, agar aset tersebut tidak terbiar lama dan berlaku penyusutan nilai yang ketara," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan dan lawatan kerja daripada delegasi Suruhanjaya Bebas Terhadap Rasuah (ICAC) Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong yang diketuai oleh Pesuruhjayanya, Danny Woo.

Hadir sama Pengerusi NFCC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Artikel Berkaitan:

Mustafar (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Danny Woo, disaksikan oleh Abu Kassim di Putrajaya pada Selasa.
Mustafar (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Danny Woo, disaksikan oleh Abu Kassim di Putrajaya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, menerusi penggubalan undang-undang sedia ada, satu agensi pusat akan diberi tugas pemerhatian secara langsung bagi menentu dan mengurus aset-aset sitaan dan lucut hak.

Katanya, menerusi kerjasama daripada agensi pelaksana undang-undang lain, aset sitaan itu akan menjadi nilai tambah kepada perolehan negara sekiranya dapat diuruskan oleh agensi berpusat yang berupaya menentukan tahap kecepatan pelupusan aset.

Jelasnya, sekiranya dapat diuruskan dengan tadbir urus aset dengan baik, ia juga dapat mengurangkan berlakunya penurunan nilai yang ketara terhadap aset sitaan atau harta lucut nilai yang terbiar atau perkara yang tidak difokuskan oleh agensi penguatkuasaan negara.

Menurutnya, petugas agensi penguatkuasaan negara sememangnya sibuk atau tertumpu kepada pelaksanaan operasi dan penguatkuasaan undang-undang.

Sementara itu Mustafar berkata, pelbagai kejayaan berjaya dicapai oleh NFCC menerusi gerak kerja gabungan atau jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, inisiatif NFCC melakukan gerak kerja operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa undang-undang membantu negara membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan wang haram.

Malah menurutnya, menerusi pembangunan sistem National Financial Crime Intelligence System (Nafis), pengumpulan data daripada pelbagai agensi dapat dilaksanakan.

Katanya, data tersebut bukan sahaja digunakan untuk gerak kerja profailing dan penentuan sasaran tertentu, ia juga dikembangkan bagi tujuan analisa dan membantu penyiasatan pihak penguat kuasa undang-undang negara.