Belum ke arah gubal undang-undang untuk syarikat media sosial

Fahmi berucap ketika merasmikan program 'Courier Industry Appreciation Day' di sebuah hotel, pada Selasa. - Foto Bernama
Fahmi berucap ketika merasmikan program 'Courier Industry Appreciation Day' di sebuah hotel, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia belum ke arah untuk menggubal undang-undang bagi memastikan syarikat media sosial bertanggungjawab terhadap kegagalan menghapuskan maklumat salah dan palsu daripada platform seperti yang dilakukan Australia, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, kerajaan akan mengadakan libat urus yang konsisten dan proaktif dengan penyedia perkhidmatan platform media sosial supaya sekiranya berlaku apa-apa isu pelanggaran, ia dapat diselesaikan dengan baik.

"Kita pada waktu ini belum ke arah itu (gubal undang-undang) tetapi mengadakan libat urus yang konsisten dan proaktif seperti dengan TikTok, Twitter, Meta dan Telegram," katanya kepada media selepas perasmian Courier Industry Appreciation Day di sini pada Selasa.

Sebagai contoh, katanya, beliau bakal bertemu dengan pengurusan Meta hari ini setelah menerima aduan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift bahawa identitinya telah disalah guna.

Australia dilaporkan bersedia menggubal undang-undang untuk memastikan syarikat media sosial bertanggungjawab kerana gagal menghapuskan maklumat salah dan palsu daripada platform mereka.

Beliau berkata, dengan proses libat urus serta kerjasama daripada pihak penyedia perkhidmatan media sosial yang lebih baik, ia memadai untuk menyelesaikan perkara sama ada berkaitan 'scammer', jenayah atau pelanggaran serta isu platform e-dagang yang menjual produk melanggar undang-undang.

"Saya lihat kerjasama itu penting dan pemahaman undang-undang tempatan juga penting untuk mana-mana platform beroperasi.

"Melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kita akan tambah baik proses libat urus untuk tingkatkan pemahaman dalam kalangan pengendali platform. Sekiranya berlaku apa-apa isu pelanggaran, kita nak selesaikan dengan baik," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, beliau menunggu maklumat daripada Kementerian Kewangan berkaitan sindiket penipuan perkhidmatan mengeluarkan wang tunai eBelia Rahmah daripada akaun e-dompet.

Polis dilaporkan telah menerima 14 laporan berkaitan sindiket penipuan perkhidmatan tersebut dengan nilai kerugian RM2,800.

Mangsa dikatakan melihat tawaran perkhidmatan menukar kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai itu di platform TikTok dan Facebook Messenger. - Bernama