Ekonomi positif jika gubal undang-undang berkaitan elemen Ali Baba

Laporan Sinar Harian pada Selasa. - Gambar kecil: Mohd Faisol
Laporan Sinar Harian pada Selasa. - Gambar kecil: Mohd Faisol
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar ekonomi menyenaraikan tujuh kesan positif terhadap ekonomi negara jika meneliti semula beberapa komponen dalam menggubal undang-undang khusus baharu berkaitan elemen rent-seeking atau konsep Ali Baba dilaksanakan.

Antaranya, peluang pekerjaan meningkat, tidak berlakunya ketirisan ringgit, rancak pertumbuhan ekonomi, kenaikan nilai mata wang dan kelahiran usahawan baharu.

Menurut Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim, apabila struktur perniagaan dan ekonomi tidak lagi didominasi oleh warga asing atau sesuatu kaum, ia secara tidak langsung mewujudkan peluang rakyat tempatan untuk berdagang.

“Langkah tersebut dapat mengelak ketirisan juga kebocoran ringgit keluar negara dan perkara ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan nilai mata wang negara di pasaran.

“Selain itu, ia juga membantu mewujudkan persekitaran ekonomi jauh lebih sihat dan kompetitif diikuti dengan amalan rasuah serta budaya mendapatkan laba (keuntungan) melalui cara mudah dapat dikurangkan atau dihapuskan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Kementerian Ekonomi sedang mengkaji beberapa komponen untuk menggubal undang-undang khusus baharu yang mampu mematahkan konsep Ali Baba dalam struktur perniagaan dan ekonomi negara.

Menteri berkenaan, Rafizi Ramli berkata, isu warga tempatan yang menyewakan perniagaan dimiliki kepada warga asing telah berlanjutan sekian lama tanpa sebarang undang-undang khusus berkaitannya sehingga menyebabkan wujud rasa tidak adil dan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Pada masa sama, Mohd Faisol menjelaskan, penggubalan itu mendorong kepada kelahiran lebih ramai usahawan dan peniaga yang serius dan kompeten dalam sesuatu bidang.

Tambahnya, melalui peluang ekonomi secara terbuka dan adil, ia mampu menjana pendapatan tambahan dan keuntungan kepada para peniaga.

“Mereka juga mampu untuk menjalankan perniagaan secara konsisten dan berdaya maju bagi jangka masa panjang dan jika ini terjadi, peredaran wang dalam pasaran akan beredar secara sihat.

“Bukan itu sahaja, masyarakat setempat mungkin tidak perlu risau lagi dengan isu jenayah, keselamatan dan kualiti barangan serta harga barangan jika para peniaga terdiri daripada masyarakat tempatan,” ujarnya.

Beritahu Mohd Faisol lagi, implikasi ke enam adalah penjimatan kos tambahan barangan dan perkhidmatan mungkin berlaku kerana tiada lagi amalan rasuah melalui konsep Ali Baba.

Katanya, konsep pengagihan kekayaan dalam ekonomi negara akan berlaku secara adil kerana rakyat Malaysia dapat berniaga dalam keadaan sejahtera dan terpelihara daripada ancaman peniaga warga asing.

“Kesan terakhir adalah mereka juga tidak lagi perlu berhadapan dengan ancaman lesen perniagaan yang disewakan oleh pihak berkepentingan kepada pihak ketiga semata-mata ingin meraih laba dengan sewaan tersebut,” jelasnya.