MoU Kerajaan Perpaduan Malaysia ikat ahli Parlimen

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis menandatangani permuafakatan antara gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis menandatangani permuafakatan antara gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perjanjian persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan Malaysia dilihat mengikat Ahli Parlimen di bawah gabungan itu.

Menerusi isi kandungan perjanjian tersebut, ahli Parlimen terbabit perlu mengundi dan menyokong setiap usul percaya dan rang undang-undang perbekalan atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan.

Sekiranya gagal, enggan atau cuai ketika menjalankan tanggungjawab mereka termasuk pada Sidang Khas Parlimen, Isnin depan, ia sekali gus membawa kepada pengosongan kerusi Parlimen.

Justeru, ia dianggap sebagai peletakan jawatan atau pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen manakala kerusi Ahli Parlimen terbabit perlu dikosongkan seperti dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

Parti bagi ahli Parlimen tersebut hendaklah mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut menurut Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi notis kepada Suruhanjaya Pilihanraya untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Ini adalah penzahiran kepada langkah-langkah menguatkuasa undang- undang Anti Lompat Parti melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 yang telah dikuatkuasakan untuk menyekat kebebasan berhimpun ahli Dewan Rakyat, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang baharu berkenaan larangan lompat parti, dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf parti politik sebagai teras dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia.

Ia membabitkan Perkara 43(2)(a) berkaitan pelantikan Perdana Menteri, Perkara 43(2)(b) (pelantikan ahli Jemaah Menteri) dan Perkara 43A (pelantikan Timbalan Menteri) yang perlu dibaca sejajar dan konsisten kepada Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022.

Parti politik dan pihak kepada perjanjian persefahaman kerjasama itu adalah asas kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pihak terbabit dalamnya mempunyai prerogatif tunggal untuk memastikan ahli Dewan Rakyat masing-masing mengundi segala usul, terutamanya berkenaan kepercayaan dan bekalan Kerajaan Perpaduan Malaysia ini berdasarkan arahan parti masing-masing.

Selain itu, perjanjian tersebut turut menyentuh Definisi dan Tafsiran, Matlamat yang dipersetujui bersama, Jemaah Menteri, Anggota Pentadbiran, Keanggotaan dan Kepimpinan Parlimen serta Majlis Perundingan dan Timbang Tara.