Gabungan bersejarah libat ahli Parlimen, masyarakat sivil dan pakar

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika sidang Media bersama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) yang berlangsung di Auditorium Karangkraf pada Selasa. - Foto Sinar Harian / ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika sidang Media bersama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) yang berlangsung di Auditorium Karangkraf pada Selasa. - Foto Sinar Harian / ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) disifatkan sebagai satu sejarah besar buat negara apabila buat pertama kalinya ahli-ahli politik kerajaan, pembangkang, penyelidik, pakar dan para profesional duduk semeja dalam satu usaha membasmi rasuah.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kumpulan rentas parti itu juga adalah kesinambungan dalam perjuangan membasmi rasuah di negara ini.

“Penubuhannya sendiri adalah satu sejarah kerana ia adalah sebuah entiti sah yang ditubuhkan Parlimen untuk melaksanakan apa yang kita usahakan selama ini.

“Kalau gagal juga kali ini, kita harus lupakannya. Jadi, kita mesti bergabung bukan sahaja rentas parti, tapi agama dan bangsa. Apa juga yang dilakukan, mesti ada kesungguhan dan bukan sekadar tekad politik sahaja.

“Mesej yang nak disampaikan adalah, kali ini ALLAH permudahkan. Kita tubuhkan Rasuah Busters dua setengah tahun lalu dan sekarang ini, 560 NGO bergabung di bawahnya. Hari ini sebagai bukti, sebuah organisasi yang sah ditubuhkan untuk memastikan rasuah di negara ini dihapuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Sementara itu, Hussamuddin turut mengharapkan ahli Parlimen agar mempunyai kesungguhan dan bukan sekadar ada tekad politik dalam memerangi rasuah di negara ini.

Jelasnya, sebagai individu yang bertanggungjawab menggubal undang-undang, mereka mempunyai kuasa untuk membuat perubahan.

“Ahli Parlimen sebenarnya bukan yang berhormat tapi ‘law makers’ yang menggubal undang-undang. Untuk menghapuskan rasuah, kita kena undang-undang yang ketat, sistem yang bagus dan rakyat yang di hatinya menolak rasuah.

“Seruan saya kepada ahli Parlimen yang lain, bagaimana anda nak dikenang. Kita berharap dalam tempoh Parlimen kali ini, kita lakukan sesuatu yang sungguh-sungguh untuk buat segala reformasi yang perlu dalam memerangi rasuah.

“Jadi, bila bersidang, sekurang-kurangnya bincangkan dan luluskan. Rakyat juga harus bersedia untuk bangkit memerangi rasuah. Jika kita sendiri tak buat, jangan nak harap orang lain yang buat,” katanya.